
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pendirian PH berhubung rasuah, salah guna kuasa dan hukuman yang diputuskan mahkamah tidak bermakna gabungan itu mempersoalkan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR, 9 Sep – KEADILAN membidas dakwaan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya mendakwa Umno sengaja mengalih perhatian daripada isu sebenar berkaitan rasuah dan integriti.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, pendirian PH berhubung rasuah, salah guna kuasa dan hukuman yang diputuskan mahkamah tidak bermakna gabungan itu mempersoalkan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“PH tidak pernah menafikan kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

“Menghormati kuasa perlembagaan Agong tidak bermaksud mana-mana parti politik akan kehilangan hak untuk menyatakan pendirian tegas terhadap rasuah, salah guna kuasa, integriti dan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan.
Saifuddin berkata demikian mengulas kenyataan Asyraf Wajdi yang mendakwa kenyataan Majlis Setiausaha PH, yang menegaskan mereka yang disabitkan atas kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani tempoh hukuman sepenuhnya, seolah-olah mempertikaikan kuasa perlembagaan Agong untuk memberikan pengampunan.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, kenyataan PH itu langsung tidak menyentuh mana-mana parti politik atau kes yang berkaitan dengannya.

“Jangan ubah persoalan tentang rasuah menjadi drama kononnya derhaka kepada Raja. Itu dua perkara yang berbeza.
“Institusi Raja mesti terus dihormati, manakala rasuah tetap wajib ditentang. Tidak ada kompromi di antara kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut meminta Umno supaya berhenti menuduh PH meremehkan institusi diraja, sebaliknya parti itu perlu menjawab isu di Negeri Sembilan.
“Jangan hanya lantang bercakap soal Raja apabila ia menguntungkan naratif politik sendiri, tetapi membisu apabila timbul persoalan yang jauh lebih serius di depan mata.
“Hormati Raja dengan mempertahankan Perlembagaan secara konsisten, bukannya menggunakan sentimen terhadap institusi diraja untuk menutup perbahasan tentang rasuah dan integriti,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bersidang pada Jumaat untuk mempertimbangkan, antara lainnya, permohonan bekas perdana Menteri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan skandal 1MDB.

No comments:
Post a Comment