RAMAI GURU TERTEKAN ANGKARA PENTADBIR YANG KUKU BESI DAN MENYOMBONG







 Awalnya saya sangka luahan guru ini hanyalah tentang cutinya yang dipertikaikan. Tapi rupanya ada cerita yang jauh lebih besar daripada itu.

Tempoh hari seorang guru dari sebuah sekolah di Pulau Pinang hubungi saya dan luahkan apa yang sedang dia lalui.
Ini apa yang dia luahkan.
Assalamualaikum encik Afiq. Tujuan saya mesej ni bukanlah untuk minta encik selesaikan masalah saya.
Saya faham tujuan encik adalah tak nak kami pendam seorang diri dan encik nak kami lepaskan segala yang kami pendam.
Jadi tujuan saya bukan nak buat encik terbeban dengan kisah saya. Cukuplah encik faham dan sudi mendengar. Itu yang kami harapkan selama ini.
11 Ogos 2026, hari selasa. Saya dipanggil oleh PK HEM lepas selesai mengajar. Arahan itu dibuat melalui mesej dalam kumpulan sekolah. Jadi sebaik saja habis kelas saya terus bergegas pergi jumpa dia.
Masa saya sampai, PK HEM sedang menyemak rekod cuti guru dan ada seorang kakitangan lain berada di situ.
Dia kemudian tegur saya tentang tiga perkara.
Tapi sehari sebelum itu, pihak sekolah anak saya telefon dan beritahu anak saya yang masih di sekolah rendah pitam, muntah, demam dan sakit kepala.
Masa itu saya memang panik.
Saya dah minta kebenaran daripada Pengetua untuk keluar ambil anak, saya isi borang keluar guru dan letakkan di tempat yang ditetapkan sebelum terus bergegas pergi.
Saya mengaku saya tak dapatkan cop PK HEM terlebih dulu.
Saya bukan nak kata prosedur tak perlu dipatuhi. Saya memang tak tahu sebab saya jarang guna borang tersebut.
Saya dah dapat kebenaran Pengetua, saya dah isi borang dan saya terus pergi sebab saya nak sampai kepada anak saya secepat mungkin.
Kalau saya salah dari segi prosedur, beritahulah saya apa yang sepatutnya saya buat supaya perkara sama tak berulang.
Saya boleh terima kalau saya salah.
Tapi masa anak sendiri pitam, muntah dan sekolah telefon minta datang segera, saya cuma berharap keadaan saya sebagai seorang ibu pada waktu itu juga boleh difahami.
Saya bukan sengaja nak langgar peraturan. Saya sedang bergegas mendapatkan anak saya yang sakit.
Saya kemudian dipersoalkan tentang cuti sakit selama 15 hari pada bulan Mac yang dikeluarkan di Kelantan.
Saya masih berada di Pulau Pinang masa jatuh sakit sampai keluarga saya datang dari Kelantan untuk jaga saya di sana.
Saya ada anak yang perlu diuruskan dan dalam keadaan saya sendiri sakit, keluarga saya yang datang membantu.
Saya dapatkan rawatan di Kelantan dan sijil cuti sakit yang saya kemukakan adalah daripada sebuah klinik swasta.
Apa yang saya faham, cuti itu dah pun diluluskan oleh pentadbir sekolah sebelum ini.
Sebab itu saya terkejut bila beberapa bulan kemudian perkara tersebut dipersoalkan semula.
Saya cuma nak tahu satu benda.
Kalau cuti itu dah dikemukakan dan dah diluluskan sebelum ini, kenapa sekarang ia dipersoalkan semula?
Kalau ada masalah dengan dokumen saya, jelaskan kepada saya apa masalahnya.
Kalau saya langgar sesuatu peraturan, tunjukkan kepada saya peraturan mana yang saya langgar.
Saya tak ada masalah untuk akui kalau memang saya salah.
Saya cuma nak tahu apa kesalahan saya.
Satu lagi sijil cuti sakit saya juga dikeluarkan di Kelantan.
Saya pulang menziarahi ibu bapa saya sebab saya dan adik-beradik memang bergilir-gilir balik menjenguk mereka. Kami semua bekerja di luar Kelantan.
Ketika berada di sana, saya demam dan badan memang tak larat untuk kembali ke Pulau Pinang.
Jadi lokasi surat cuti ini pula dipersoalkan dan isu jarak daripada tempat bertugas dibangkitkan.
Masa itu saya mula tertanya-tanya kenapa perkara ini dipersoalkan terhadap saya.
Kalau memang ada peraturan tentang jarak, tunjukkan kepada saya.
Saya boleh ikut.
Tapi kalau peraturan itu memang terpakai, saya cuma berharap ia digunakan secara konsisten kepada semua guru.
Saya tak pernah minta peraturan diketepikan hanya sebab saya.
Saya cuma nak tahu apa peraturannya, apa kesalahan saya dan kenapa saya ditegur.
Itu saja.
Tapi tekanan yang saya rasa bukan tentang cuti saja.
Saya juga ada masalah dengan beban tugas kokurikulum.
Seorang lagi guru yang ditugaskan dengan saya sedang cuti tanpa gaji. Saya rasa macam saya perlu kendalikan kelab tersebut seorang diri.
Kelab yang saya uruskan memang aktif masuk pertandingan dan pernah dapat pencapaian yang baik.
Saya pernah minta guru lain bantu atau gantikan guru yang tengah bercuti itu, tapi saya diberitahu guru lain juga dah penuh dengan tugasan masing-masing.
Dalam satu kejadian lain pula, saya diminta menyediakan dokumentasi berkaitan sebuah piala yang sebenarnya diterima melalui aktiviti lain dan bukan di bawah kelab yang saya kendalikan.
Saya dah mengajar 37 waktu seminggu.
Hari Rabu saja saya ada sembilan waktu dan pernah dapat relief sampai jadi sepuluh waktu.
Saya pula mengajar kelas yang memerlukan kawalan dan kekuatan emosi yang tinggi.
Kadang-kadang saya sendiri tertanya-tanya,
“Bila masa saya nak makan? Bila masa saya nak berehat kejap? Bila masa saya nak tenangkan fikiran sebelum masuk kelas seterusnya?”
Saya bukan tak mahu bekerja atau tak nak jalankan tanggungjawab.
Tapi saya dah penat.
Bila terlalu banyak perkara datang satu demi satu, setiap tambahan tugas mula terasa macam satu lagi beban yang saya kena tanggung seorang diri.
Selepas kejadian pada 11 Ogos itu, saya hantar kedua-dua luahan berkaitan PK HEM dan PK Kokurikulum kepada Pengetua.
Saya tunggu.
Tapi saya tak dapat maklum balas yang betul-betul dapat menjelaskan atau menyelesaikan apa yang saya bangkitkan.
Jadi pada 12 Ogos, saya pergi sendiri ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk membuat aduan.
Pada 14 Ogos pula saya hubungi kaunselor di PPD.
Selepas itu saya teruskan perkara ini melalui saluran aduan rasmi.
Saya ikut jalan yang sepatutnya. Saya tak terus pergi media sosial dan buka cerita kepada orang ramai.
Saya pergi kepada pihak yang saya percaya sepatutnya boleh mendengar, menyemak dan menilai apa yang berlaku.
Selepas hampir dua minggu, akhirnya saya terima maklum balas rasmi. Waktu itu saya rasa gembira sangat.
Saya senyum seorang diri. Dalam hati saya fikir,
“Akhirnya ada orang dengar juga apa yang aku cuba sampaikan.”
Saya buka e-mel itu. Saya baca satu persatu.
Sampailah saya kepada bahagian yang menyatakan perkara yang saya bangkitkan didapati tak berasas.
Masa itu hati saya betul-betul berkecai. Bukan semata-mata sebab keputusan itu tak memihak kepada saya.
Kalau selepas siasatan lengkap mereka dapati saya memang salah, saya boleh terima.
Tapi yang saya tak faham, sepanjang proses itu saya sendiri tak pernah dipanggil untuk beri keterangan sebelum keputusan dibuat.
Saya ada ceritakan bahawa ada orang lain sebagai saksi dan berada di tempat kejadian yang berlaku pada 11 Ogos itu.
Jadi selepas terima maklum balas itu, saya hubungi saksi tersebut dan tanya sama adakah dia pernah dipanggil atau bertemu dengan pihak yang menjalankan semakan.
"Tak ada."
Itu jawapan yang saya terima.
Saya makin keliru.
Sebab daripada maklum balas rasmi yang saya terima, saya faham bahawa semakan dah dibuat termasuk melalui temu bual dan dokumen berkaitan.
Jadi saya tertanya-tanya sampai sekarang.
Macam mana aduan saya boleh diputuskan sebagai tak berasas kalau saya sendiri tak pernah dipanggil untuk beri keterangan dan orang yang saya nyatakan berada di tempat kejadian juga beritahu saya dia tak pernah dipanggil?
Saya bukan minta sesiapa terus percaya kepada saya. Saya tak minta pihak sekolah, PPD atau JPN terus dianggap salah.
Mungkin mereka ada dokumen, penjelasan dan versi mereka sendiri.
Tapi saya juga nak dilayan secara adil dan diberi peluang untuk bercakap.
Kalau selepas semua pihak didengar, dokumen disemak dan mereka kumpul segala keterangan kemudia mereka dapati aduan saya tak berasas, mungkin saya boleh terima dengan sedikit penjelasan.
Sekurang-kurangnya saya tahu cerita saya pernah didengar sampai habis dan saya tahu saya pernah diberikan ruang untuk jelaskan apa yang berlaku kepada saya.
Saya cuba kawal emosi sendiri walaupun dalam hati banyak benda yang saya pendam.
Tapi saya dah penat dan kecewa. Saya takut lama-lama hilang jiwa untuk mendidik.
Encik Afiq, terima kasih kerana mendengar dan beri beberapa nasihat pada saya.
Sekarang saya cuma berharap mereka luluskan permohonan saya untuk berpindah ke sekolah lain saja.
Saya redha dalam kecewa, tapi dalam hati saya masih berharap ada seseorang dalam sistem yang sudi dengar cerita saya sampai habis sebelum merek atentukan apa yang saya lalui ini “tak berasas”!
Nama sekolah, nama guru, nama pentadbir serta butiran yang boleh mengenal pasti mana-mana individu adalah dengan sengaja tak didedahkan.
Kita bukan nak mengheret atau menyerang sesiapa, tapi nak fokus pada isu saja.





No comments: