NAK BELA MELAYU DAN RAJA RAJA MACAMANA ? DAP dah tak ada pun masih bergaduh, kemelut Negeri Sembilan berlarutan, siapa paksa MB cetus sindiran

 


Kemelut politik dan institusi di Negeri Sembilan terus menjadi bahan sindiran apabila tokoh wartawan, Fathi Aris Omar mempersoalkan bagaimana pertelingkahan masih berlaku meskipun DAP dan Pakatan Harapan (PH) sudah dihalau dari kerajaan negeri.

“Jahat betul DAP, paksa MB tandatangan proklamasi tolak Yang di-Pertuan Besar,” katanya secara sinis menerusi hantaran di Facebook sebelum mengulang sindiran bahawa akhirnya DAP juga yang akan dipersalahkan.

Sindiran itu susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi, sehingga membawa kepada laporan polis dan persoalan besar mengenai siapa sebenarnya yang memberi tekanan kepadanya.

Isu itu menjadi semakin panas apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri bertanyakan, “Siapa paksa MB Negeri Sembilan? Dia kata dia dipaksa.”

Reaksi Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sekali gus menambah tanda tanya mengenai pihak yang dikatakan berada di belakang tekanan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Zahid turut menafikan menerima sebarang surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, menjadikan kemelut berkenaan semakin ‘lucu’ selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bulan lalu.

Fathi berpendapat keadaan itu memperlihatkan satu ironi besar dalam politik Melayu selepas PH dan DAP tidak lagi boleh dijadikan alasan sebagai punca perpecahan.

Ini memandangkan pertelingkahan dan perebutan pengaruh tetap berlaku dalam kalangan kelompok yang selama ini melaungkan soal penyatuan.

Hey, kau dah halau DAP dan PH, apahal tidak boleh bersatu padu lagi?

“Kuasa sudah di tangan, sampai masa untuk jaga kebajikan negeri dan rakyat,” tegas Fathi yang juga bekas Ketua Pengarang Malaysiakini.

Bertelagah

Penganalisis sosio-politik yang prolifik itu turut mengaitkan situasi itu dengan sejarah hubungan Pas dan Umno, dengan mengingatkan bahawa kedua-dua parti Melayu itu pernah bertelagah meskipun berada dalam satu gabungan politik.

Menurut Fathi, corak politik yang sama sering berulang iaitu slogan perpaduan dilaungkan ketika mahu mendapatkan kuasa, namun apabila kuasa sudah berada di tangan, pertikaian dalaman, perebutan kedudukan dan kepentingan kembali muncul.

Sindiran beliau turut menyentuh kecenderungan sesetengah pemimpin politik untuk menjadikan DAP atau kaum lain sebagai kambing hitam apabila berlaku masalah dalaman, sedangkan konflik sebenar boleh berpunca daripada perebutan kuasa sesama sendiri.

“Samalah punca Pas ditendang keluar daripada BN dahulu. Pas tidak suka MB Kelantan, Umno sokong. Tempat Umno ada cawangan, Pas nak buka juga.

“Yang b*d*h pengundi Melayu, percaya sangat cakap pemimpin. Pemimpin gila kuasa tak sedar. Lepas itu gila projek dan harta negara pula. Senyap je!

“Sepuluh tahun selepas Umno tendang Pas, Umno bergaduh sesama sendiri. Putar belit undi, bawa ke mahkamah, Umno diharamkan pada 1988.

“Nak menang, jaja perpaduan. Dapat kuasa, berebut. Dah stabil, pakat curi duit negara milik Melayu B40 – FELDA, Tabung Haji, RISDA dan MARA misalnya,” tempelak Fathi lagi.






No comments: