STRATEGI ANWAR: MENGETENGAHKAN DUA TOKOH NON-POLITIKUS


SAFWAN MOHAMAD






Persoalan yang dimainkan sekarang ialah, kenapa Anwar Ibrahim tidak sendiri menjawab dan membentangkan isu berkaitan RCI Tabung Haji?
Sekiranya Anwar sendiri yang tampil menjawab, sangat mudah isu ini dialihkan menjadi pertarungan politik. Anwar adalah Perdana Menteri dan Presiden sebuah parti politik. Apa sahaja yang beliau bentangkan mengenai Tabung Haji boleh dituduh sebagai serangan politik terhadap kerajaan terdahulu. Akhirnya, dapatan RCI yang sepatutnya dinilai berdasarkan fakta akan tenggelam dalam polemik politik.
Sebaliknya, Anwar memilih untuk memberikan ruang kepada dua anggota Kabinet yang mempunyai kepakaran khusus untuk menjawab isu berkaitan Tabung Haji, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Kenapa mereka?
Dr. Zulkifli Hasan bukanlah seorang politikus kepartian. Beliau datang daripada dunia akademik dan mempunyai latar belakang yang kuat dalam Syariah, undang-undang dan kewangan Islam. Kepakaran beliau sangat berkait rapat dengan sifat dan tujuan asal Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang menguruskan urusan ibadah haji serta dana umat Islam berlandaskan prinsip Syariah.
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pula datang daripada dunia korporat dan profesional. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan korporat, kewangan dan pelaburan serta pernah menerajui beberapa organisasi korporat utama negara. Beliau juga bukan tokoh yang membina kerjayanya melalui politik kepartian.
Pemilihan dua tokoh ini mempunyai makna yang lebih besar apabila dibaca bersama syor RCI Tabung Haji.
RCI secara khusus mencadangkan supaya struktur tadbir urus Tabung Haji disusun semula dengan Menteri Hal Ehwal Agama diberikan mandat terhadap pengurusan haji, manakala Menteri Kewangan diberikan mandat terhadap pengurusan kewangan, dana dan pelaburan.
RCI juga menegaskan bahawa fungsi pelaburan Tabung Haji perlu dijalankan secara bebas dan profesional, serta mencadangkan supaya fungsi pelaburan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Lebih penting, RCI menggariskan keperluan memperkukuh tadbir urus Tabung Haji melalui pengurusan profesional tanpa campur tangan politik.
Jadi apabila Anwar tidak mengambil pentas untuk dirinya sendiri, sebaliknya memberikan ruang kepada Dr. Zulkifli Hasan dan Datuk Seri Amir Hamzah, pendekatan itu mempunyai logiknya.
Biarkan soal agama dan ibadah dijawab oleh mereka yang mempunyai kepakaran agama dan Syariah. Biarkan soal kewangan, dana dan pelaburan dijawab oleh mereka yang mempunyai pengalaman dalam kewangan dan korporat.
Dan mungkin di sinilah kita memahami kenapa pembangkang lebih selesa meninggalkan Dewan daripada meneruskan perbahasan.
Apabila Dr. Zulkifli Hasan bangun untuk menjawab berdasarkan fakta dan dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar.
Patutlah begitu.
Berdebat di luar Dewan memang mudah. Tetapi apabila berhadapan dengan seorang akademia yang memahami Syariah dan kewangan Islam, bersandarkan pula kepada laporan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja, medan perbahasannya sudah berubah.
Di luar Dewan boleh bermain persepsi. Di dalam Dewan, kena berhadapan dengan fakta.
Dan nampaknya, apabila fakta mula berbicara, ada yang memilih untuk berjalan keluar.





No comments: