Saya mengikuti secara dekat hampir 10 jam perbahasan khas RCI Tabung Haji di Parlimen pada 11 Ogos 2026.
Terus terang saya katakan, semakin lama saya mendengar, semakin mengerikan.
Ini bukan cerita duit sebuah syarikat biasa.
Ini duit orang Melayu Islam. Duit pesawah. Duit nelayan. Duit guru. Duit anggota polis dan tentera. Duit pesara. Duit orang kampung yang menyimpan sedikit demi sedikit dengan satu impian :
“Suatu hari nanti aku mahu sampai ke Mekah”.
Tetapi apa yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat menunjukkan bagaimana kelemahan tadbir urus, keputusan pelaburan berisiko serta amalan perakaunan yang sangat meragukan akhirnya membawa Tabung Haji ke satu kedudukan kewangan yang sangat kritikal. RCI sendiri menyebut berlakunya amalan “creative accounting”.
Antara perkara yang benar benar membuat saya terdiam ialah ini.
PERTAMA, untung RM3.4 bilion rupa-rupanya sepatutnya rugi RM1.4 bilion.
Bagi tahun kewangan 2017, Tabung Haji melaporkan keuntungan RM3.4 bilion.
Namun menurut RCI, sekiranya Malaysian Financial Reporting Standards digunakan sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion.
Bezanya hampir RM4.8 bilion.
Bayangkan.
Atas kertas nampak untung berbilion.
Tetapi selepas kaedah perakaunan sebenar diterapkan, rupanya rugi berbilion.
KEDUA, nilai aset digunakan dengan kaedah yang menaikkan gambaran kedudukan kewangan TH.
RCI mendapati TH menggunakan Realisable Asset Value atau RAV bagi menentukan kemampuan membayar hibah, bukannya semata mata nilai aset dalam penyata kewangan yang telah diaudit.
Pada masa yang sama, beberapa kemerosotan nilai pelaburan tidak diiktiraf sepenuhnya.
Lebih membimbangkan, dasar impairment juga telah berubah.
Malah Ketua Audit Negara mengenal pasti RM227.81 juta kerugian impairment yang tidak diiktiraf melibatkan beberapa syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu.
KETIGA, hibah RM2.75 bilion tetap dibayar pada 2017.
RCI menyatakan bahawa tanpa pendapat audit bersih, TH sepatutnya tidak mengisytiharkan hibah tahunan 4.5 peratus serta hibah haji tambahan 1.75 peratus yang keseluruhannya menelan belanja kira kira RM2.75 bilion.
Maknanya masalahnya bukan sekadar pelaburan rugi.
Kita sedang bercakap tentang keputusan kewangan yang terus dibuat ketika kemampuan sebenar institusi sudah menjadi persoalan.
KEEMPAT, 14 pelaburan bermasalah dikenal pasti dan tujuh daripadanya dilaporkan mengalami kerugian 100 peratus.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah yang dikenal pasti RCI berakhir dengan kerugian keseluruhan terhadap modal tertentu.
Antara yang paling mengejutkan ialah urusan Al-Rawda Real Estates Development di Arab Saudi.
TH dilaporkan membayar sekitar RM1.5 bilion bagi urusan pajakan empat hotel di Madinah antara 2015 hingga 2017.
Namun menurut Amir Hamzah, keputusan itu dibuat tanpa due diligence lengkap dan tanpa jaminan bank.
Al-Rawda kemudiannya gagal membuat bayaran dan kerugian yang dikaitkan dengannya mencecah kira kira RM1.86 bilion setakat 2024.
KELIMA, nama Putrajaya Perdana membawa kita terus kepada lorong gelap skandal 1MDB.
TH melabur dalam Putrajaya Perdana.
Menurut penerangan Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat, syarikat itu kemudiannya terlibat dalam transaksi berkaitan 1MDB dan akhirnya TH mengalami kerugian sekitar RM145.3 juta.
Lebih mencetuskan persoalan, CEO TH ketika itu juga merupakan ahli lembaga 1MDB.
Maka persoalan yang dibangkitkan di Dewan sangat besar :
Adakah setiap keputusan pelaburan dibuat semata mata demi kepentingan Tabung Haji atau ada kepentingan pihak lain yang turut cuba diselamatkan?
Dan di sinilah kaitan sejarah Putrajaya Perdana dengan Jho Low menjadi sangat mencemaskan.
Rekod perbicaraan 1MDB sebelum ini menunjukkan Jho Low mempunyai hubungan dengan urusan pengambilalihan Putrajaya Perdana melalui Majestic Masterpiece, selain Putrajaya Perdana turut muncul dalam aliran transaksi yang dibicarakan dalam kes 1MDB. Tetapi untuk berlaku adil kepada fakta, RCI yang dibahaskan hari ini tidak bermakna kita boleh terus mengatakan Jho Low sendiri “mengurus Tabung Haji”. Hubungannya perlu disebut melalui rangkaian syarikat dan transaksi yang telah direkodkan.
Sebab itu bagi saya persoalan paling besar hari ini bukan :
Anwar Ibrahim ada atau tidak ada dalam Dewan?
Persoalan sebenarnya ialah :
Apa yang telah berlaku kepada wang umat Islam?
Siapa membuat keputusan?
Siapa meluluskan?
Siapa mengetahui keadaan sebenar?
Mengapa amaran tidak diendahkan?
Bank Negara dilaporkan pernah mengeluarkan lima surat amaran berkaitan jurang aset dan liabiliti TH.
Dan apabila sebuah sidang khas diadakan untuk membedah perkara sebesar ini, sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang pula memilih untuk keluar Dewan selepas permintaan menangguhkan sidang tidak diterima.
Pada saya, di sinilah teguran PU Syed sangat munasabah.
Kalau tidak bersetuju, duduk dan lawan dengan hujah.
Kalau kerajaan salah, buktikan dalam Dewan.
Kalau RCI pincang, bedah satu persatu.
Kalau Menteri salah angka, sanggah dengan fakta.
Rakyat sedang menonton.
Parlimen disiarkan secara langsung.
Bukankah inilah peluang terbaik pembangkang menunjukkan mereka mempunyai fakta, ilmu, kompetensi dan alternatif?
Tabung Haji terlalu besar untuk dijadikan pentas drama politik.
Kita sedang bercakap tentang sebuah institusi yang menjaga simpanan lebih 9.8 juta pendeposit Muslim.
Orang Melayu Islam tidak menyimpan di Tabung Haji supaya ahli politik boleh berlakon.
Mereka menyimpan kerana mahu menyempurnakan Rukun Islam kelima.
Sebab itulah selepas mendengar hampir 10 jam perbahasan ini, saya sampai kepada satu kesimpulan :
RCI Tabung Haji bukan isu kerajaan lawan pembangkang.
Ini isu amanah.
Ini isu duit umat.
Ini isu bagaimana sebuah institusi Islam yang sangat kita sayangi boleh dibawa begitu hampir kepada jurang kewangan melalui kelemahan tadbir urus, pelaburan yang buruk dan amalan perakaunan yang dipersoalkan.
Dan kalau selepas membaca angka angka ini masih ada yang lebih sibuk bertanya:
“Kenapa Perdana Menteri tak ada?”
daripada bertanya :
“Ke mana pergi berbilion ringgit wang Tabung Haji?”
maka rakyat berhak bertanya pula :
Sebenarnya siapa yang sedang memperjuangkan Tabung Haji, dan siapa yang sekadar memperjuangkan politik mereka sendiri?
Satu angka baharu yang sangat besar juga dilaporkan malam ini : 14 pelaburan bermasalah itu dikatakan melibatkan kerugian hampir RM13 bilion secara keseluruhan. Saya sengaja belum menjadikannya tajuk utama artikel kerana saya mahu angka pecahan yang benar benar dapat disandarkan kepada rekod penggulungan Amir Hamzah sebelum kita “tembak” dengan angka RM13 bilion itu.
HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia

No comments:
Post a Comment