Kedah gagal teruskan rayuan, Pas jadikan ‘geng judi menang’ modal tagih undi

 


Keputusan mahkamah berhubung dasar kerajaan negeri Kedah menghentikan pengeluaran lesen perjudian kini dijadikan modal politik Pas untuk menyeru rakyat memberikan lebih banyak kuasa kepada parti pembangkang itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, menerusi hantaran ringkas di media sosial menyifatkan perkembangan terbaharu kes berkenaan sebagai kemenangan “geng judi” terhadap Kerajaan Negeri Kedah.

“Geng judi menang vs kerajaan negeri Kedah.

“Ia hujah kukuh bahawa Pas dan parti politik Islam wajib diberi undi dan kuasa bernegara,” katanya.

Kenyataan Nik Abduh itu dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung larangan premis pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Kerajaan Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan rayuan tersebut diteruskan.

Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pas itu turut diperintahkan membayar kos RM50,000.

Bagaimanapun, gambaran Nik Abduh bahawa keputusan itu sekadar pertarungan antara “geng judi” dengan kerajaan negeri tidak menceritakan keseluruhan isu perundangan yang dipertikaikan.

Kes berkenaan bukanlah bagi menentukan sama ada perjudian baik atau buruk, mahupun sama ada seseorang mempunyai “hak untuk berjudi”.

Sebaliknya, pertikaian utama adalah mengenai sempadan kuasa Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ia khususnya sama ada kerajaan negeri boleh menggunakan kuasa pelesenan premis untuk mengenakan larangan menyeluruh terhadap aktiviti loteri yang dilesenkan di peringkat Persekutuan.

Melampaui batas kuasa

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada pengendali pertaruhan.

Majoriti hakim berpandangan keputusan kerajaan negeri Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan pengendali pertaruhan telah melampaui batas kuasa negeri dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut menegaskan bahawa urusan loteri dan pool betting berada dalam bidang kuasa perundangan Persekutuan, manakala kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap premis tidak boleh digunakan untuk mengambil alih bidang kuasa itu.

Dasar kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu bermula selepas pemimpin Pas itu mengumumkan pada November 2021 bahawa Kedah tidak lagi mahu memperbaharui lesen premis perjudian.

Susulan keputusan berkenaan, lesen premis bagi pengendali nombor ramalan tidak diperbaharui mulai Januari 2023 walaupun pengendali terbabit mempunyai lesen perniagaan yang dikeluarkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Enam permohonan semakan kehakiman kemudian difailkan oleh ejen, syarikat dan pegawai utama syarikat pertaruhan untuk mencabar keputusan kerajaan negeri.

Mahkamah Tinggi pada Jun 2024 membatalkan keputusan tersebut sebelum keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember 2025.

Cubaan Kerajaan Kedah membawa pertikaian berkenaan lebih jauh akhirnya terhenti apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberikan kebenaran merayu semalam.



No comments: