
Kuartet renang gaya bebas 4x100m lelaki negara melangkah ke pentas final Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada 24 Julai 2026. Foto Arkib
GLASGOW, 24 Jul – Kuartet renang gaya bebas 4×100 meter (m) lelaki negara melangkah ke pentas penentuan pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas mencatat masa keenam terpantas pada pusingan kelayakan di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross di sini, hari ini.
Pasukan negara yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencatat masa tiga minit 23.90 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Australia (3:14.53s) dan England (3:14.68s).
Catatan itu meletakkan Malaysia di kedudukan keenam keseluruhan sekali gus melayakkan skuad negara mara ke final yang disertai lapan pasukan terbaik.
Aksi final dijadual berlangsung malam ini (awal pagi Sabtu waktu Malaysia) dengan kuartet negara dijangka berdepan cabaran sengit daripada kuasa tradisi renang seperti Australia, Kanada, England dan Afrika Selatan.
Rekod kebangsaan bagi acara itu ialah 3:20.61s yang dicatat oleh Hoe Yean, Arvin Shaun, Yin Chuen dan Terence Ng pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

No comments:
Post a Comment