
Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama calon PH DUN Jeram Padang, G Manivannan dalam program Sembang Santai Bersama Penduduk di Taman Sri Rompin pada 24 Julai 2026.
JEMPOL, 24 Jul – Pengerusi Majlis Penasihat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mahu momentum sokongan pengundi terhadap Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Negeri Sembilan kekal positif sehingga ke hari pengundian.
Beliau yakin rekod pencapaian PH selama mentadbir di peringkat negeri dan Persekutuan mampu membawa kebaikan buat penduduk sekiranya PH diberi mandat.
“Kita mahukan momentum ini dikekalkan untuk PH. Berdasarkan ‘track record’ yang kita ada, ia boleh membawa kebaikan pada masa hadapan.
“Jadi, saya mohon pengundi terus memberikan sokongan kepada calon kita,” katanya ditemui selepas membuat lawatan Ziarah Kasih bersama calon PH bagi DUN Jeram Padang, G Manivannan, di sini, hari ini.
Terdahulu, isteri Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni beberapa keluarga di Kampung FELCRA Rompin.
Beliau yang diiringi Manivanan, melihat sendiri keadaan penduduk dan sambutan masyarakat akar umbi dalam siri kempen PRU Negeri Sembilan.
Manivanan berdepan pertembungan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (BN), R Sri Sanjeevan (BERSATU) dan Dayana Dal daripada Parti Orang Asli Malaysia (ASLI).



No comments:
Post a Comment