Asyraf Wajdi dahului kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

 


Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 telah menyatakan secara jelas bahawa hanya Melayu dan beragama Islam sahaja yang boleh dilantik sebagai Menteri Besar.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan menegaskan bahawa Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hanya bermain sentimen apabila mengaitkan DAP dalam isu calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya fikir kenyataannya itu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang boleh melantik Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya kecewa apabila keluar kenyataan sebegitu, sebenarnya, mereka tidak cakap apa yang mahu buat untuk Negeri Sembilan, cuma main sentimen,” katanya semasa sidang akhbar Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Dalam masa sama, Syahredzan mengulas tentang kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang masih seorang menteri dalam “kerajaan yang ada DAP” berkenaan persefahaman dibuat dengan rakan yang boleh dipercayai.

Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, kenyataan pemimpin Umno itu boleh difahami sebagai merujuk kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, belum pun menang kerusi dalam PRN Negeri Sembilan, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin sudah memberi nama kepada persefahaman antara PN dan BN sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).

Syahredzan Johan

“Siapa dulu? Perikatan. Menariknya di sini, baru masuk, dia dah nak jadi ketua. Padahal, partinya baru masuk (bertanding).

“Nampaknya BN pun terpaksa jadi nombor dua. Kalau kerjasama PN dan BN ini diteruskan, lama-kelamaan BN akan ditelan oleh PN dan Pas.

“Pas pula sudah ada ‘track record’ bertukar-tukar sokongan, apabila dia lihat pihak ini lemah, dia pergi ke pihak lain, bersikap habis madu sepah dibuang. Macam itulah dia buat pada Bersatu.

“Kalau BN rasa itulah rakan yang boleh dipercayai, saya cuma nak katakan selamat maju jaya sebab PH sudah tahu perangai Pas,” sindirnya.

Hadir sama dalam sidang media itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.

Terdahulu, Asyraf Wajdi mendakwa bahawa PH hanya mempunyai Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan.

Katanya, jika Aminuddin tewas di DUN Linggi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, PH tiada pilihan kecuali mengangkat calon DAP sebagai Menteri Besar.

Fakta sebenar

Dalam sidang media sama juga, Faiz menyentuh isu pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH).

Dalam kenyataan bersama, katanya, PH berpandangan demi kepentingan awam dengan mengambil kira prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kabinet wajar membuat keputusan untuk mendedahkan laporan RCI itu mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

“Rakyat berhak mengetahui fakta sebenar agar segala persoalan yang berbangkit dapat diperjelaskan secara tuntas dan berdasarkan laporan rasmi,” tegas beliau.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan RCI TH yang menyiasat penjualan aset strategik TH pada 2018 akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya 29 Julai depan, selepas dirujuk kepada Jemaah Menteri.

Pada 22 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan penjualan aset TH yang kurang berdaya saing dan bermasalah kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri pada 2018.

Zulkifli ketika menjawab soalan di Dewan Negara berkata, Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan masalah kewangan serius TH apabila jurang defisit antara aset dengan liabiliti institusi itu mencecah RM10.9 bilion pada tahun itu.

Jelasnya, keputusan menyelamatkan TH terbukti berhasil apabila deposit institusi itu meningkat daripada kira-kira RM69.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM95.1 bilion pada pertengahan tahun ini.




No comments: