
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Petaling Jaya pada 24 Julai 2026. Foto Bernama
PETALING JAYA, 24 Jul – Kerajaan akan terus menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan projek kemudahan rakyat tanpa melalui ahli politik bagi memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan dana awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan Kerajaan MADANI adalah membiayai projek infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan tidak menyediakan peruntukan kepada kawasan tertentu.
“Apa yang penting sekarang, rakyat mahukan projek atau ahli politik (dapat duit)? Rakyat mahukan projek!

“Tiada sebab untuk ahli politik mendakwa tiada peruntukan. Jawapannya mudah, ya kita ada duit, cuma kita tidak beri kepada ahli politik, kita beri terus kepada rakyat dan sekolah,” katanya ketika berucap pada Program Generasi Muda Suara Baharu.
Beliau berkata, masih terdapat baki peruntukan pembangunan di beberapa kawasan Parlimen yang akan disalurkan mengikut prosedur kerajaan.
“Rupanya, Parlimen Subang ada lagi RM1.6 juta, Parlimen Petaling Jaya ada RM3 juta. Bukan sahaja dua-dua Parlimen ini, tapi Seri Setia, Taman Medan, Bukit Tasik, semua akan diberikan projek seperti yang diluluskan dalam peruntukan yang lalu.
“Sebab itu kita berikan terus sebagai projek untuk sekolah, sekolah Cina, sekolah Tamil, masjid, gereja, taman rekreasi dan kedai. Semuanya diluluskan menerusi proses yang betul,” katanya.
No comments:
Post a Comment