Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menyarankan PAS mencontohi pendekatan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang disifatkan lebih sederhana dalam memperjuangkan Islam tanpa mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan masyarakat Cina dan India.
Menurut beliau, pendekatan itu menyebabkan AMANAH lebih mudah diterima dalam sebuah masyarakat berbilang kaum berbanding PAS.
“PAS perlu belajar daripada AMANAH. Kedua-duanya memperjuangkan Islam tetapi AMANAH tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan masyarakat Cina dan India. Sebab itu mereka lebih mudah diterima dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Malaysia adalah hak orang Melayu, bukannya orang Cina atau India.
Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata kenyataan seperti itu menunjukkan mengapa Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya menjalinkan kerjasama dengan PN.
Katanya, naratif sedemikian bukan sahaja berpotensi mengeruhkan hubungan antara kaum, malah meletakkan parti-parti komponen BN seperti MIC dalam keadaan sukar kerana bertentangan dengan semangat perpaduan yang diperjuangkan.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan bahawa orang Melayu sedang kehilangan tanah air atau kuasa politik.
Menurutnya, orang Melayu kekal menerajui pentadbiran negara sejak merdeka, manakala kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera terus dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

No comments:
Post a Comment