Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat cuba mengehadkan peranan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila secara terbuka meminta beliau tidak lagi turun berkempen di Negeri Sembilan.
Menurut Zahid, Sanusi tidak perlu datang ke Negeri Sembilan sepanjang baki enam hari kempen dan menyerahkan urusan kempen kepada pemimpin tempatan.
“Kalau boleh sehingga hari Sabtu nanti, berbaki enam hari lagi, sangat eloklah beliau tidak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kita uruskan negeri ini dengan cara kita sendiri,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi ucapan Sanusi yang menyebut, “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu”, sehingga mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin komponen Barisan Nasional (BN).
Zahid turut mengakui kenyataan Sanusi telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti komponen BN.
“Ada seorang pemimpin parti komponen kita yang merasa terganggu. Saya fikir tidak perlulah perkara itu dibangkitkan lagi dan dipanjangkan,” katanya.
Sebelum ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran secara terbuka mengkritik kenyataan Sanusi dan menegaskan masyarakat India serta Cina di Malaysia adalah rakyat Malaysia yang mempunyai hak sama di sisi Perlembagaan.
Beliau turut menyifatkan kenyataan seperti itu menyukarkan usaha membina kerjasama politik, malah menyatakan ia antara sebab komponen BN lebih selesa bergerak secara solo berbanding bekerjasama dengan pihak yang membawa naratif sedemikian.
Kenyataan Zahid itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada kehadiran Sanusi dalam kempen BN-PN kini dilihat lebih membawa mudarat daripada manfaat terhadap usaha meraih sokongan pengundi pelbagai kaum di Negeri Sembilan.
Sumber : Unofficial Info

No comments:
Post a Comment