Umno dijangka tidak pilih laluan MN 2.0, kenapa?


 


Umno dijangka tidak akan memilih untuk menjalin kerjasama politik rasmi dengan Pas dalam masa terdekat meskipun terdapat pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan kebangkitan semula Muafakat Nasional (MN).

Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, beliau mempunyai pandangan berbeza daripada tanggapan umum yang menjangkakan kedua-dua parti Melayu itu akan kembali bekerjasama dalam bentuk pakatan politik.

Menurutnya, strategi sedemikian tidak memberi kelebihan kepada Umno memandangkan kedua-dua parti menyasarkan kelompok pengundi yang sama iaitu orang Melayu.

“Ramai menjangkakan Umno akan menjalin kerjasama politik dengan Pas selepas ini, tetapi saya berbeza pandangan. Saya tidak fikir strategis Umno akan membuat pilihan itu.

“Sokongan orang Melayu terhadap Umno ketika ini masih rendah dan jauh ditinggalkan oleh Pas.

“Jika bekerjasama dalam bentuk pakatan politik, Umno hanya akan menjadi pilihan kedua atau pelengkap kepada Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kehilangan pengaruh

Dr Yusri berpandangan kerjasama politik dengan Pas berisiko menyebabkan Umno kehilangan pengaruh kerana parti itu akan dilihat sebagai pemain sokongan dalam gabungan yang didominasi Pas.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan daya saing Umno dalam jangka panjang, sama seperti pemain yang semakin hilang peranan apabila lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.

“Untuk kekal kompetitif, Umno perlu berada dalam pasukan yang membolehkannya menjadi pemain utama, sekurang-kurangnya dalam segmen politik Melayu.

“Jika terlalu lama menjadi pelengkap kepada pihak lain, parti itu berisiko kehilangan kekuatan dan pengaruhnya sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Umno dan Pas masih mempunyai ruang luas untuk bekerjasama dalam pelbagai isu yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa perlu membentuk pakatan politik rasmi.

Menurutnya, kerjasama berasaskan nilai dan kepentingan bersama lebih sesuai berbanding hubungan politik yang berteraskan permusuhan.

Antara bidang yang boleh diterokai termasuk usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera, meningkatkan kualiti pendidikan serta memperkukuhkan syiar Islam.

“Kerjasama dalam perkara-perkara seperti ini sangat baik dan mempunyai banyak ruang untuk diusahakan.

“Namun, jika kerjasama itu berbentuk pakatan kepartian sedangkan kedua-duanya bersaing merebut pengaruh dalam segmen pengundi yang sama, Pas akan lebih mendominasi manakala Umno akan berada di pihak yang rugi,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Yusri berpendapat kemungkinan Umno bergerak ke arah pembentukan semula Muafakat Nasional atau model kerjasama seumpamanya adalah rendah, sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat.




No comments: