Ahli Politik Tak Wajar Campur Tangan Krisis Adat Negeri Sembilan

 


Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha berkata pendirian tegas itu dicapai hasil Sidang Meja Bulat (RTD) dianjurkan pihaknya bagi membincangkan secara ilmiah berfakta serta mencari jalan terbaik penyelesaian ini tanpa berpihak demi kelangsungan institusi adat di Negeri Sembilan kekal terpelihara.

SEREMBAN, 11 Jun – Ahli politik tidak wajar campur tangan dalam krisis adat yang berlaku di Negeri Sembilan, sebaliknya memulangkan penyelesaian kepada pemimpin adat dan pemulihan pusaka melalui muafakat kebulatan anak buah.

Ahli Dewan Negara, Dr Jufitri Joha berkata pendirian tegas itu dicapai hasil Sidang Meja Bulat (RTD) dianjurkan pihaknya bagi membincangkan secara ilmiah berfakta serta mencari jalan terbaik penyelesaian ini tanpa berpihak demi kelangsungan institusi adat di Negeri Sembilan kekal terpelihara.

Bagaimanapun beliau berkata sebagai mediator, kerajaan negeri melalui perkenan kedua-dua institusi iaitu Yang Dipertuan Besar dan Undang perlu memainkan peranan sebagai membuka jambatan dialog dan pintu perundingan.

RTD terbabit dihadiri pelbagai pihak pemegang taruh dan berkepentingan dalam kalangan cendekiawan, pengkaji, pengamal adat, pemimpin masyarakat dan pempengaruh media sosial bagi membincangkan secara ilmiah berfakta serta mencari jalan terbaik penyelesaian ini tanpa berpihak demi kelangsungan institusi adat di Negeri Sembilan kekal terpelihara.

Perbincangan RTD, katanya banyak terfokus kepada penyelesaian jangka panjang ke hadapan bagi merejuvenasi institusi adat yang penting ini serta memupuk kesedaran khususnya dalam kalangan generasi akan kepentingan institusi ini.

Bagi mencapai tujuan itu, perbincangan RTD mengeluarkan enam cadangan konkrit

  1. Menulis dan mendokumentasikan garis panduan protokol dan proses perlantikan pemimpin adat di setiap luak

  2. Menubuhkan sebuah institut bagi mengkaji, menyelidik dan mengeluarkan dapatan-dapatan yang belum ditemui mengenai sejarah, adat perpatih dan adat Melayu di Negeri Sembilan

  3. Mewujudkan perjawatan penasihat adat kepada Pejabat Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan bagi menasihat dan memandu hal ehwal adat

  1. Mewujudkan balai adat di setiap luak bagi dijadikan medan perbincangan dan pertemuan rujukan berkaitan hal ehwal adat untuk pemimpin adat dan anak buah

  2. Mewujudkan Majlis Adat Perpatih Negeri Sembilan melibatkan wakil-wakil luak yang dicadangkan diletakkan di bawah Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bagi meregulasi pentadbiran adat di Negeri Sembilan

  3. Memperkasakan pendidikan adat kepada generasi muda dan pelajar sekolah melalui penyelarasan oleh Yayasan Negeri Sembilan bagi memperkasakan kefahaman dan jati diri anak Negeri Sembilan.

Tambah Jufitri, perbincangan RTD juga bersetuju mewujudkan sebuah platform tidak formal iaitu Sekretariat Adat Warisan Pusaka Alam Nismilan bagi memastikan segala cadangan di atas diambil berat pihak kerajaan dan dilaksanakan.

“Jika tidak diselesaikan segera maka dibimbangi institusi adat yang sangat penting ini akan diperlekehkan oleh pihak-pihak luar yang tidak memahami kepentingannya.

“Institut adat di Negeri Sembilan khususnya institusi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan empat Undang harus terus dipertahankan selaras pentadbiran moden Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

No comments: