Pengundi Cina lesu, bukan sebab sokong PN?


 


Kelesuan politik dalam kalangan pengundi Cina tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sokongan yang semakin meningkat kepada Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menjadi amaran kepada Kerajaan MADANI untuk mempercepatkan penyampaian hasil reformasi ekonomi kepada rakyat.

Ketua Penerangan PKR Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim, berkata pandangan yang dikemukakan bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek, mengenai kemungkinan kebangkitan Pas secara secara tidak langsunga akibat penurunan keluar mengundi dalam kalangan masyarakat Cina perlu dilihat sebagai satu ‘peringatan’ kepada kerajaan dan jentera penerangan.

Menurutnya, hujah Dr Chua mengenai matematik pilihan raya memang mempunyai asas kerana kawasan campuran boleh berubah imbangan sekiranya sebahagian pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi.

Namun, beliau menegaskan keadaan itu bukan bermaksud pengundi tersebut beralih menyokong PN.

“Kelesuan politik atau disillusionment yang dikesan bukan isyarat mereka beralih arah kepada PN. Ia adalah manifestasi tuntutan terhadap kecekapan tadbir urus dan kestabilan makroekonomi,” katanya.

Beliau berkata, kesilapan terbesar mana-mana kerajaan adalah menganggap sokongan sesuatu kelompok pengundi sebagai sesuatu yang kekal atau boleh diambil mudah.

Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu membuktikan bahawa reformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan mampu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Menurut Suhaimi, Kerajaan MADANI kini sedang melalui fasa penstrukturan semula ekonomi yang mencabar melalui langkah seperti rasionalisasi subsidi bersasar, peluasan asas cukai dan usaha mengukuhkan nilai ringgit bagi memastikan kedudukan fiskal negara lebih mampan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pembetulan dasar tersebut memberi tekanan jangka pendek terhadap kos sara hidup, sekali gus menyumbang kepada rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian rakyat.

“Pengundi bandar dan pinggir bandar melihat angka pelaburan berbilion ringgit yang diumumkan kerajaan, tetapi mereka mahu melihat bagaimana kejayaan makro itu diterjemahkan kepada peningkatan gaji sebenar dan kestabilan harga barang,” katanya.

Beliau percaya sekiranya reformasi ekonomi berjaya menstabilkan inflasi dan meningkatkan kuasa beli rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sentimen kelesuan politik itu akan beransur pulih.

“Rakyat akan kembali ke peti undi bukan kerana takut kepada Pas, tetapi kerana mereka yakin dengan hala tuju ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, Suhaimi menggesa jentera penerangan Kerajaan MADANI memperkukuhkan komunikasi di peringkat akar umbi supaya manfaat dasar kerajaan dapat difahami oleh rakyat tanpa bergantung kepada naratif perkauman atau politik ketakutan.

Beliau berkata, tugas PKR dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah membina politik konvergensi, iaitu merapatkan jurang antara kaum melalui agenda kestabilan politik dan reformasi ekonomi.

Katanya, apabila kebajikan rakyat terus diperkasakan, sistem penyampaian diperkemas dan peluang ekonomi diwujudkan secara adil, Kerajaan MADANI mempunyai asas yang lebih kukuh untuk mempertahankan sokongan rakyat menjelang PRU16 melalui rekod prestasi, bukan retorik politik.



No comments: