
Perdana Menteri ,Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengadakan sidang media bersama sempena sambutan rasmi lawatan beliau di Pejabat Perdana Menteri di Tokyo pada 10 Jun 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bermula Isnin lalu ternyata membuahkan hasil apabila membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka serta memperkukuh pelbagai bidang kerjasama strategik.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata, hari terakhir beliau di negara Matahari Terbit itu dipenuhi dengan menghadiri pelbagai pertemuan dan usaha bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

“Hari kedua yang juga hari terakhir lawatan rasmi ke Jepun semalam diisi dengan pelbagai pertemuan dan ikhtiar memperkukuh persahabatan Malaysia-Jepun, serta membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan keterjaminan tenaga.
“Alhamdulillah, misi ini berakhir dengan baik. Semoga segala usaha yang dilaksanakan melimpahkan manfaat dan kemakmuran berpanjangan buat rakyat dan negara kita,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia dan Jepun memeterai empat memorandum kerjasama (MoC) melibatkan sektor strategik sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua negara dalam mendepani cabaran landskap geopolitik dan geoekonomi dunia.
Kerjasama berkenaan melibatkan bidang keselamatan maritim, alam sekitar, pengurusan sisa pepejal dan kawal selia peranti perubatan.

Malaysia dan Jepun turut memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga serta kewangan menerusi perjanjian pembekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang, selain usaha memperluaskan penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga dua hala.
Anwar berkata, pemeteraian itu merupakan langkah penting dalam memperluaskan kerjasama sedia ada, dengan penekanan perlu diberikan kepada aspek pelaksanaan.

Katanya, semua persetujuan yang dicapai perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara.
No comments:
Post a Comment