Semalam, bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan beliau dan 13 Ahli Parlimen UMNO akan menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan.
Tampil menjawab dakwaan tular di media sosial, Ahli Parlimen Bera itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cubaan menjejaskan imejnya dan memecahbelahkan hubungan serta menimbulkan kesangsian antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
“Saya anggap mungkin ada niat kurang baik bila ada disebarkan cerita sebegini terutamanya terhadap saya sendiri dan ia merosakkan imej saya sedangkan saya selalu katakan tetap bersama UMNO,” katanya.
Serentak itu, Ismail Sabri menegaskan, beliau akan terus memberi sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Dakwaan berkaitan sejumlah Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan mahu menarik sokongan daripada kerajaan perpaduan sebenarnya bukanlah perkara baru yang disebarkan di media sosial.
Sebelum ini sudah beberapa kali ia ditularkan di media sosial.
Begitu pun, hanya kali ini saja Ismail Sabri membuat penafian.
Baguslah penafian itu dilakukan dan bagus juga sokongan yang diberikannya kepada Anwar.
Setidak-tidaknya, kalau ada usaha mahu menukar kerajaan selepas ini, tumpuannya hanya tinggal satu – PRU16 akan datang.
Tiada lagi agenda tebuk atap dan sebagainya.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum sudah dipanggil enam kali untuk disoal siasat oleh SPRM berhubung penemuan wang tunai dan jongkong emas bernilai RM177 juta di beberapa “safe house” selepas empat bekas pegawainya ditahan reman.
Susulan itu, lebih 30 individu lain turut diambil keterangan masing-masing.
Selepas penemuan wang tunai dan emas tersebut dan SPRM menayangkannya kepada umum, KP SPRM, Azam Baki dalam satu kenyataan kemudian mengatakan, Ismail Sabri adalah suspek dalam siasatan yang dijalankan agensi tersebut.
Bagaimanapun, selepas enam kali dipanggil SPRM, belum ada khabar berita atau perkembangan lanjut berkaitan siasatan yang telah dijalankan.
Rakyat secara umumnya memang tertunggu-tunggu apa perkembangan seterusnya.
Semoga ada sinar di hujung terowong buat Ismail Sabri.
Secara umumnya, Ismail Sabri adalah pemimpin yang baik, tak banyak musuh dan tak suka bercakap mengenai hal orang lain. – ShahbudinHusin 24Mac2025.
No comments:
Post a Comment