
Komander Wilayah Satu, Rusley Chi Ari, berkata pihaknya rampas 22 bungkusan teh Cina mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki syabu. Foto Bernama
PULAU PINANG, 23 Mar – Lima warga Indonesia diberkas dalam cubaan seludup syabu bernilai lebih RM700,000 ke negara ini melalui perairan Teluk Kumbar, Pulau Pinang.
Dalam operasi Op Khas Penyeludupan Dadah, Pasukan Polis Marin merampas 22 bungkusan teh Cina mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan mampat kristal jernih disyaki syabu seberat 22.772kg.
Komander Wilayah Satu, Rusley Chi Ari, berkata semua suspek ditahan berhampiran Pantai Teluk Bayu, dekat Sungai Batu, ketika cuba melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat daripada Unit Risikan Marin (URM), bot ronda kami mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Teluk Kumbar. Suspek bertindak membuang barang kes sebelum melarikan diri ke daratan di Pantai Teluk Bayu, Sungai Batu.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan pasukan operasi, kesemua suspek berjaya diberkas berhampiran lokasi bot yang ditinggalkan beberapa jam selepas kejadian. Bot yang mereka naiki tenggelam akibat pelanggaran dengan batu,” katanya menurut Bernama.
Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Hyundai Tucson bernilai RM150,000 serta empat telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM5,000, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM833,704.
Semua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an direman sehingga 28 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut Rusley, Op Khas Penyeludupan Dadah dijalankan di perairan Pulau Pinang dari 20 hingga 27 Mac, melibatkan 22 pegawai dan anggota, termasuk dua pegawai kanan polis.
No comments:
Post a Comment