PN dicabar namakan calon PM, MB Perak

 




Blok pembangkang di peringkat persekutuan Perikatan Nasional telah dicabar untuk menamakan calon Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak.


Cabaran ini disuarakan oleh ketua Angkatan Muda Harapan (AMH) Woo Kah Leong.


“Hari ini AMH mencabar PN untuk menjelaskan siapakah calon Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak mereka sekiranya mereka berhasrat untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan negeri,” kata Woo dalam satu kenyataan.


“Tidak seperti PN yang masih kabur dalam soal kepimpinan, kerajaan perpaduan negeri Perak telah menampilkan barisan kepimpinan yang jelas dan bertanggungjawab di bawah Dato’ Seri Saarani Mohamad yang telah memimpin kerajaan negeri tanpa sebarang skandal rasuah.


Beliau juga telah membuktikan komitmen terhadap anak muda dengan melantik pemimpin muda ke dalam pentadbiran, termasuk saya sendiri sebagai Exco termuda dalam sejarah negeri ini.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan bukan sahaja stabil tetapi juga memberi peluang kepada generasi muda untuk berperanan dalam pembangunan negeri.”


Kenyataan ini dibuat ekoran dakwaan pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa PN bersedia mengambil alih kerajaan.


Woo turut menyatakan pendirian rasmi AMH di dalam PRK Ayer Kuning untuk menyokong calon BN.


Selain itu beberapa langkah strategik telahpun diambil.


“Sebagai langkah strategik dalam memastikan kemenangan, AMH telah melantik saudara Khairol Najib, Ketua Pemuda Amanah Perak, sebagai Pengarah Pilihan Raya AMH bagi PRK Ayer Kuning.


“Beliau akan dibantu oleh Ketua Pemuda PKR Perak, saudara Zaim, serta Ketua DAPSY Perak, saudara Wong Kar Keat.


“Sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menggerakkan kempen secara menyeluruh di lapangan dan di media sosial, memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat maklumat yang jelas mengenai calon perpaduan dan hala tuju kerajaan perpaduan.”

Woo turut menegaskan bahawa AMH menolak amalan politik fitnah yang dibawa oleh PN.


PRK Ayer Kuning akan berlangsung pada 26 April 2025.




No comments: