Malaysia Rancang Ketatkan Peraturan Semikonduktor Di Bawah Tekanan AS

 

Malaysia kini sedang menyiasat sama ada undang-undang tempatan dilanggar dalam penghantaran pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura.

BENGALURU, 24 Mar – Malaysia merancang untuk mengetatkan peraturan membabitkan semikonduktor selepas berada di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekang aliran cip ke China bagi pembangunan kecerdasan buatan (AI), demikian menurut laporan Financial Times.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan AS menuntut Malaysia menjejaki dengan lebih teliti pergerakan cip Nvidia berprestasi tinggi yang memasuki negara ini kerana terdapat kecurigaan bahawa banyak daripadanya dihantar ke China, menurut laporan itu.

“AS meminta Malaysia memantau setiap penghantaran yang tiba di Malaysia membabitkan cip Nvidia.

Kerajaan AS menuntut Malaysia menjejaki dengan lebih teliti pergerakan cip Nvidia berprestasi tinggi yang memasuki negara ini kerana terdapat kecurigaan bahawa banyak daripadanya dihantar ke China. Foto Reuters

“Mereka mahu kami memastikan bahawa pelayan berakhir di pusat data yang sepatutnya dan tidak secara tiba-tiba dipindahkan ke kapal lain,” kata Tengku Zafrul.

Nvidia bagaimanapun tidak memberi maklum balas pantas kepada Reuters.

AS sedang menyiasat sama ada DeepSeek yang memiliki model AI berprestasi yang mengejutkan dunia teknologi pada Januari lalu menggunakan cip AS yang dilarang.

Malaysia kini sedang menyiasat sama ada undang-undang tempatan dilanggar dalam penghantaran pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di Singapura, kerana ia mungkin mengandungi cip canggih yang tertakluk kepada kawalan eksport AS.

Pendakwa Singapura memberitahu mahkamah pada awal bulan ini bahawa terdapat kes membabitkan syarikat berpangkalan di Singapura yang didakwa menipu dalam pembekalan pelayan AS ke Malaysia, membabitkan transaksi bernilai AS$390 juta (RM1.72 bilion).

Media Singapura mengaitkan kes itu dengan kemungkinan pemindahan cip AI Nvidia kepada syarikat AI China, DeepSeek. – REUTERS




No comments: