PM Anwar Bantu Baiki Rumah ‘Auntie Woon’, Kediaman Sama Diselamatkan Beliau 30 Tahun Lalu

 


Keadaan kediaman Auntie Wong di pekan Permatang Pauh sebelum dan selepas dibaik pulih dengan bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook Steven Sim

BUKIT MERTAJAM, 23 Mar – Seorang wanita yang menjaga dua abangnya yang uzur dan orang kelainan upaya (OKU) menarik nafas lega apabila rumah mereka di Pekan Permatang Pauh, di sini yang usang sekali lagi mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Prihatin terhadap keadaan tiga beradik itu, Anwar menerusi Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Sumber Manusia, Steven Sim melawat rumah wanita berkenaan yang dikenali Woon, 57, sebelum mengaturkan kerja baik pulih.

Sim menerusi hantaran di Facebook berkata, rumah tersebut dibeli mendiang ayah mereka 30 tahun lalu, namun pada 1990-an, keluarga itu hampir kehilangan tempat berteduh akibat menjadi mangsa penipuan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim ketika menemui Auntie Wong di kediamannya sebelum dibaik pulih. Foto Facebook Steven Sim

Mereka berusaha mendapatkan bantuan sehingga akhirnya mendiang kakak Woon berjaya menemui Anwar, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

“Menurut kakaknya, ketika berjumpa Anwar, pengawal peribadi tidak menghalangnya walaupun dia hanya rakyat biasa. Anwar terus bertanya, ‘Can I help you?’ sebelum menghulurkan bantuan.

“Kakaknya berpesan kepada keluarganya agar tidak melupakan jasa Anwar yang telah menyelamatkan rumah mereka,” katanya.

Rumah pusaka usang dipenuhi barang-barang kitar semula. Mungkin bagi orang lain ini semua sampah sarap, tapi untuk Auntie Woon, inilah rezeki untuk menjaga 3 adik beradik uzur. Foto Facebook Steven Sim

Menurut Sim, Woon kini terpaksa bekerja keras mengumpul barangan kitar semula untuk menampung kehidupan, sementara menjaga abangnya Ah Kong, 59, yang terlantar sakit, serta Ah Keong, 62, seorang OKU mental.

“Saya dimaklumkan mengenai keadaan keluarga ini dan apabila bertemu dengan Woon, dia mengeluh tiada siapa yang sudi membantu.

“Saya meyakinkannya agar tidak risau kerana Perdana Menteri sendiri meminta saya turun padang untuk membantu,” katanya sambil menambah ketika itu beliau tidak mengetahui kisah Anwar pernah membantu keluarga mereka 30 tahun lalu.

Auntie Woon hadiahkan sebuah karya seni dengan perkataan 一帆风顺 yang membawa maksud semoga dipermudahkan segala urusan. Foto Facebook Steven Sim

Menurut Sim, rumah usang tersebut satu-satunya harta pusaka keluarga, namun kayu bumbung dan dinding sudah reput, lantai pecah dan dipenuhi barangan kitar semula.

Beliau berjanji membaiki kediaman itu supaya tiga beradik berkenaan dapat hidup lebih selesa. Dalam tempoh hanya sebulan, rumah itu berjaya dibaik pulih dan dibina semula.

Menurut Woon dia sendiri tidak menyangka akhirnya dapat tinggal dalam rumah yang lebih baik.

30 tahun yang lalu Auntie Woon kata insan bernama Anwar Ibrahim telah menyelamatkan rumah pusaka keluarga mereka. 30 tahun kemudian, Auntie kata PMX sekali lagi membantu mereka menyelamatkan rumah pusaka. Inilah Malaysia Madani. Foto Facebook Steven Sim

Dia turut mengenang bagaimana Anwar pernah membantu keluarganya menyelamatkan rumah itu 30 tahun lalu, dan kini sebagai Perdana Menteri, beliau sekali lagi memberikan keprihatinan yang sama.

“Saya meyakinkan Woon agar tidak bimbang. Walaupun ini bukan kawasan saya, Perdana Menteri telah meminta saya untuk membantu.

“Saya juga akan bekerjasama dengan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Mohd Noor, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada Woon. Inilah Malaysia MADANI,” katanya.


No comments: