Teruk betul lebai ni. Apa kena menggena dengan DAP bila UMNO tak hadir?
Mentang-mentang dan infaq RM825,000, marah betul pada DAP.
Geli hati betul. Ahaks.
***
Tindakan Umno membatalkan hasrat berhimpun demi solidariti bersama bekas perdana menteri Najib Razak kini menjadi cemuhan pemimpin PAS dengan tanggapan parti itu takut kepada DAP.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Umno sebagai berlakon bersandarkan titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Seperti biasa, saya melihat lakonan Umno ini pasti ingin mengalih sikap sebenar mereka dengan bersandarkan kepada sesuatu perkara.
“Kali ini mereka memilih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai sandaran untuk melindungi sikap pengecut mereka terhadap DAP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu Umno mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan menyatakan sokongan kepada bekas Najib yang pada mulanya direncana berlangsung pada Isnin ini.
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Agong dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Bagaimanapun PAS kekal meneruskan rancangannya untuk berhimpun pada Isnin ini sempena pendengaran Mahkamah Rayuan berhubung permohonan Najib untuk menyemak ketetapan dibuat Mahkamah Tinggi mengenai dakwaan titah adendum dibuat Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Agong ke-16 untuk membolehkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Tuan Ibrahim berkata, PAS hanya memperjuangkan keadilan buat semua rakyat, tanpa mengira pangkat dan kedudukan mereka termasuk berkenaan titah adendum.
“Namun agak malang apabila kenyataan Umno untuk tidak meneruskan himpunan ini keluar selepas DAP menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap Umno.
“Tindakan ini sudah terang lagi bersuluh, sekali lagi mengiyakan dakwaan rakyat sekarang bahawa Umno hanya menjadi pengikut setia dan hanya mengangguk kepada apa sahaja yang dikatakan DAP.
“Jika Umno mahu membuang persepsi ini, mereka patut meneruskan perhimpunan dan bersolidariti bersama Najib, sebagai lambang ketaatan Umno kepada institusi Agong, bukan takut kepada ‘batuk kecil’ DAP,” katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Istana Negara semalam mengeluarkan kenyataan mengingatkan bahawa permohonan pengampunan perlulah diserah kepada Lembaga Pengampunan, yang mesyuaratnya akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ia mengulangi kenyataan serupa oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu, yang memetik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
AGC menekankan bahawa jika sesiapa, termasuk Najib, ingin mencadangkan untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, permohonan yang berkaitan perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan mengikut undang-undang – dan bukan dengan cara lain.
Ini adalah untuk mengelakkan keputusan Agong berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan daripada dicabar di mahkamah.
Berikutan itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang perhimpunan mengenai hak perogatif Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan.