Pas jangan kurang ajar beri gambaran sebagai biawak, kata Lokman Adam



 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyelar sikap Pas yang mahu meneruskan “perhimpunan derhaka” dipercayai demonstrasi berhubung isu Titah Adendum pada 6 Januari depan.

Lokman menyifatkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai kurang ajar susulan hantaran di media sosial yang menyebut tentang ayam betina dan biawak.

“Kalau pun Pas nak teruskan dengan “perhimpunan derhaka”, itu hak dia.


“Tapi janganlah kurang ajar sangat sampai menggambarkan YDP Agong sebagai biawak.

“Nampaknya usaha menghasut rakyat membenci institusi diraja semakin rancak dijalankan penunggang agama,” katanya hari ini menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli Shaari

Semalam, Ahmad Fadhli dipercayai menyindir susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa parti tersebut tidak meneruskan perhimpunan solidariti terhadap Najib Razak di Putrajaya Isnin ini.


“Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji.

“Disergah biawak, digadai reban,” tulis Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Rata-rata mengecam Pas yang beria-ia mengarahkan ahlinya berhimpun pada majlis ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari ini.

Perbandingan biawak yang digunakan Ahmad Fadhli, 45, juga dilihat tambah membangkitkan kecaman orang ramai.


“Biadab MP Pasir Mas, cuba nak gambarkan siapa biawak tu,” kata Faizal Sharip.

“Fadhli Shaari sedang menggambarkan YDPA sebagai apa ni? Adakah Pas nak tunjuk penderhakaan yang melampau begini? Adakah ini akhlak yang Pas nak tunjuk pada rakyat? Pihak pendakwaraya perlu ambil tindakan segera. Ini memang melampau menyamakan YDPA dengan…,” tegas Mohd Hazim.

Sapo sergah tu? Dalam konteks isu ni, ibaratnya yang sergah tu Istana, bakpo sanggup umpamakan dengan “BIAWAK”? Dahsyat kenyataan ni,” ujar Irewan Shah Azizi.