Adakah Fadhli Shaari Cuba Derhaka Titah Agong? – Faizul Abd Ghani

 

Faizul Abd Ghani melihat hantaran Ahmad Fadhli dari sudut perspektif kesetiaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja, boleh dianggap sebagai suatu bentuk kenyataan yang tidak wajar atau mengandungi maksud tertentu yang mungkin mencabar kedaulatan dan kehormatan institusi tersebut.

KLUANG, 4 Jan – Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari digesa menyatakan maksud sebenar apabila membuat hantaran di Facebook berbunyi, “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban” yang dikhuatiri menimbulkan kegusaran awam terkait isu himpunan solidariti Najib Razak pada 6 Januari ini.

Hantaran itu yang disiarkan pada Jumaat disifatkan boleh menimbulkan persoalan tentang sejauh mana ia mencabar atau menderhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

“Meskipun hantaran tersebut tidak menyebut secara langsung mana-mana pihak tertentu, penggunaan ungkapan tersebut menggambarkan sindiran yang mungkin menyasarkan individu atau kumpulan tertentu dalam konteks politik atau masyarakat.

“Dalam konteks ini, ungkapan “Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji” boleh ditafsirkan sebagai sindiran terhadap individu yang dianggap berlagak atau bercakap besar, namun akhirnya terbukti tidak seperti yang dijangkakan

“Manakala, “Disergah biawak, digadai reban” disifatkan mengandungi makna ketidak upayaan atau kelemahan apabila berhadapan dengan ancaman atau tekanan,” soal aktivis KEADILAN Johor, Faizul Abd Ghani.

Tindakan seperti ini, jika dilihat dari sudut perspektif kesetiaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja, boleh dianggap sebagai suatu bentuk kenyataan yang tidak wajar atau mengandungi maksud tertentu yang mungkin mencabar kedaulatan dan kehormatan institusi tersebut.

Faizul turut bertanya siapakah ‘watak-watak’ yang dimaksudkan Ahmad Fadhli serta mencabarnya supaya menjelaskan kepada siapakah ungkapan itu ditujukan.

“Sebagai seorang ahli parlimen, Ahmad Fadhli sepatutnya lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa di media sosial agar tidak menyinggung perasaan rakyat dan mempertikaikan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong.

“Namun, untuk menilai sama ada ia merupakan penderhakaan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Ahmad Fadhli perlu menjelaskan dalam konteks keseluruhan percakapan atau tindakan beliau dan keseriusan niat di sebalik kenyataan tersebut.

Kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan pada Jumaat. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Sekiranya terdapat unsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, tindakan boleh diambil, tetapi jika ia lebih kepada sindiran dalam konteks politik semasa, apakah wajar menulis hantaran berkenaan yang boleh menimbulkan persepsi buruk terhadap pihak berkaitan?,” soalnya.

Terdahulu bekas Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu membuat hantaran setelah kenyataan media Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Istana Negara melalui kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.