"Kena Baca, Hadam, Terima Titah Agong’ – PM Anwar

 

’Kena Baca, Hadam, Terima Titah Agong’ – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan sebahagian peniaga dan orang ramai ketika melakukan lawatan ke Lestari Niaga MADANI @ Wirawati di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak tertentu supaya memahami dan menerima titah Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi kesalahan banduan.

“Kena baca, kena hadam, dan kena terima perintah, titah tuanku,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa melawat lokasi Lestari Niaga MADANI@KL 2 dan menikmati makan tengah hari di Pusat Penjaja Seksyen 10 Wangsa Maju di sini hari ini.

Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 kepada warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari di Putrajaya pagi tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Istana Negara bahawa permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu menyebut Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya selain boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.

Ditanya sama ada kenyataan Istana Negara itu berkaitan dengan himpunan “Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan” di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin depan, Anwar berkata, “Kena baca (kenyataan Istana Negara).”

Kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan pada Jumaat. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba kira-kira 12.30 tengah hari disambut Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta orang ramai yang teruja dengan kehadiran pemimpin negara itu di premis berkenaan.

Anwar turut beramah mesra bersama peniaga gerai makanan di medan selera itu dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Difahamkan Pakatan Harapan (PH) tidak akan terlibat dalam himpunan pada 6 Januari depan atau menyokong mana-mana penganjur himpunan berkenaan.