Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menggesa orang ramai agar tidak menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan mana-mana pihak.
Ia susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini yang mengingatkan tentang kuasa prerogatif baginda untuk memberi ampun dan mengurangkan hukuman banduan.
Razarudin berkata, demi menghormati titah Sultan Ibrahim, pihak yang berhasrat mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjunjung hormat titah berhubung kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti mana termaktub dalam perkara 42(1) dan (2), Perlembagaan Persekutuan yang jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikut undang-undang.
“Demi menghormati titah kenyataan baginda Yang di-Pertuan Agong dan menjaga keselamatan serta ketenteraman awam, PDRM menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak,” tegasnya dalam satu kenyataan tadi.
Beliau juga menggesa rakyat untuk sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara khususnya Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran dan keharmonian negara.
Terdahulu dilaporkan Pas akan berhimpun dan bersolidariti untuk Datuk Seri Najib Razak yang akan diadakan di hadapan Istana Kehakiman, Isnin depan.
UMNO juga dikatakan akan berhimpun pada tarikh itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah menegaskan bahawa Pakatan Harapan tidak akan terlibat dengan himpunan tersebut.