Tiada Skandal, Kes Besar Bukti Perkasa Tatakelola Berjaya – PM Anwar

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 3 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan usaha Kerajaan Perpaduan memperkasakan tatakelola pada pelbagai peringkat sebagai satu kejayaan berikutan tiada skandal atau kes besar boleh dipalitkan kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun ini.

Perdana Menteri berkata, dalam tempoh itu, kerajaan pimpinannya menjalankan proses tender yang telus hingga tiada skandal besar berlaku.

“Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak bercerita mengenai kes lama dan saya nak sebut dalam tempoh dua tahun ini, saya syukur kepada Allah kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu pun skandal besar diungkapkan dalam tempoh dua tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Bagi saya ini kejayaan yang lebih besar. Kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah, negara ini negara hukum (ada undang-undang) dan kita harus mengambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.