PUTRAJAYA, 3 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan sesi pemukiman (retreat) kali ketiga dalam tempoh terdekat.
Pemukiman itu jelas Perdana Menteri bukan untuk menceritakan kejayaan masing-masing, sebaliknya menjadi platform anggota Kabinet memperbaiki kelemahan yang ada.
“Kita dalam beberapa minggu ini akan mulakan dengan retreat (pemukimam) Jemaah Menteri, dan retreat itu bukan biasa untuk mencatat (bahawa) ini kejayaan masing-masing.
“(Pemukiman ini) untuk menyatakan bahawa ada ruang yang harus diperbaiki, ada kelemahan yang harus dibetulkan dan ada tahap kesungguhan yang harus kita tingkatkan,” ujar Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 semasa perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Untuk rekod, Pemukiman Jemaah Menteri pertama diadakan pada 15 Januari 2023 diikuti dengan yang kedua pada 16 Januari 2024, kedua-duanya di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.