PM Anwar Arah Projek Tebatan Banjir, Basmi Kemiskinan Tegar Disegerakan

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 3 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua isu mendesak, seperti projek tebatan banjir dan kemiskinan tegar diselesaikan segera termasuk merombak unjuran projek sedia ada jika perlu.

Perdana Menteri berkata hal ini kerana ia melibatkan kepentingan serta keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.

“Saya setuju dalam perbincangan kita harus rombak itu semua kerana banjir mengorbankan nyawa dan harta … dan kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain, kita jimatkan, kalau perlu pinjam kita pinjam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Semua program mendesak, seperti kemiskinan tegar dan tebatan banjir harus disegerakan dan tidak ikut unjuran lima, enam tahun … supaya dalam tempoh singkat masalah itu diselesaikan sebaik mungkin,” kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara ini harus diteliti semua ketua setiausaha kementerian (KSU) bagi menangani isu-isu mendesak itu termasuk mengambil inisiatif turun padang dengan memantau sendiri permasalahan dihadapi rakyat.

“Kalau tidak, KSU baru datang kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir fasa satu di Rantau Panjang dah siap, fasa kedua 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap? Tak usah bangkit keupayaan negeri, saya tidak mahu dengar hal itu, yang saya tahu kita mesti selesaikannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kerjasama dan perubahan tentunya melibatkan peruntukan kewangan besar, tetapi kalau perlu potong peruntukan daripada tempat lain, kita potong, kerana mesti selesaikan perkara asas dihadapi rakyat,” kata Anwar.

Keutamaan Perdana Menteri bagi tahun 2025 ialah memastikan agenda pemerkasaan rakyat dapat dipertingkatkan selain menerajui ASEAN dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.