Masa jadi kerajaan, Pas senyap tentang isu Islam
Pemuda AMANAH Nasional menyelar Pemuda Pas yang akan mengadakan demonstrasi kebangkitan umat yang kononnya untuk menzahirkan kemarahan orang Islam dan Melayu terhadap beberapa pemimpin DAP.
Exconya, Fadhli Umar Aminolhuda berpendapat Pas ketika menjadi hanya senyap tentang isu Islam sebaliknya hingar-bingar ketika berada di blok pembangkang.
“Soalan saya pada pimpinan Pemuda Pas, sewaktu kamu bersama dalam Kerajaan Persekutuan, mengapa kamu tidak haramkan saja DAP ketika itu?
“Lupakah kamu ketika kamu menjadi Kerajaan isu Hudud pun senyap bahkan RUU355 pun hilang?
“Lupakah kamu ketika kamu menjadi Kerajaan kempen Buy Muslim First atau BMF yang kamu laung ketika kamu pembangkang pun hilang?
“Paling penting, kenapa ketika kamu menjadi Kerajaan kamu tidak hukum terus pimpinan DAP yang kamu katakan mencabar Islam ini?” soal Fadhli menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Fadhli menasihatkan Pas supaya sudah-sudahlah memainkan isu perkauman dan agama yang langaung tidak membangunkan anak bangsa.
“… lebih baik kamu sediakan Bajet Alternatif Pembangkang, Kerangka Kerajaan Pas jika menang PRU16 dan lain-lain polisi alternatif yang boleh kamu tawarkan sebagai pembangkang yang efektif dan bukan hanya merosakkan negara dengan isu-isu perkauman bahkan fitnah yang tidak tentu hala. Cukuplah,” kata Fadhli lagi.
Pas menerusi sayap pemudanya dan Armada Bersatu serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan ‘Himpunan Bangkit Ummah’ di Masjid Jamek Kampung Bharu, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat ini.
Demonstrasi itu antara lain membantah penerbitan buku oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ dan sambutan Krismas di bangunan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.