KUALA LUMPUR, 29 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program pembangunan semula Gaza dan Palestin akan disegerakan dengan usahasama Kerajaan Jepun dan Malaysia menerusi dana Persidangan Mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Menerusi perkongsian klip video di Facebook pada Rabu, Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan kepada usaha itu, Malaysia akan membina sebuah sekolah, sebuah hospital dan sebuah masjid.
“Alhamdulillah, atas usaha kerajaan dan Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita dapat kepastian supaya dapat disegerakan pelaksanaan program pembangunan semula Gaza dan Palestin atas usaha bersama Kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat untuk menubuhkan dan melancarkan dana melalui kegiatan Asia Timur.
“Bagi pihak Malaysia, dengan usaha ini dan usaha yang saya percaya bersama dengan rakyat dan kolaborasi dengan sektor swasta.
“Insya Allah, kita akan mulakan dengan pembinaan sebuah sekolah, sebuah rumah sakit dan sebuah masjid sebagai suatu usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat.
“Mudah-mudahan Allah memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,” katanya.
Terdahulu pada 18 Januari, Anwar memberitahu pelan berkenaan akan digerakkan bersama Jepun dan telah dipersetujui Perdana Menteri Shigeru Ishiba ketika lawatan rasmi pada 9 Januari lalu.
“Seluruh Gaza hancur… sekolah, masjid, hospital, dan rumah. (Perbelanjaan) dijangka sampai 1 trilion dolar.
“Tetapi kita respond ini kerana Jepun yang mencadangkan… kerajan Jepun cadang untuk Asia Timur, Jepun dan Malaysia mempengerusikan bersama usaha membina semula Gaza.
“Kita akan minta Jepun menyegerakan pertemuan di peringkat pegawai,” katanya semasa sidang media di London, United Kingdom.
No comments:
Post a Comment