Tekad Hentikan Amalan Bina Kekayaan Guna Kuasa Politik – PM Anwar

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni kanak-kanak yang hadir bersama ibu bapa melawat reruai pameran sempena penganjuran Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024) di Tapak Gravitas, Perai pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SEBERANG PERAI, 7 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad untuk menghentikan amalan mana-mana pihak membina kekayaan dengan menggunakan kuasa politik dan kedudukan di negara ini.

Tegas Perdana Menteri, beliau akan membuktikan segala usaha dan mandatnya dalam memerangi kepincangan individu-individu berkuasa termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan yang sedang berada dalam perkhidmatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawati reruai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) usai merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024) di Tapak Gravitas, Perai pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sejak November 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat lebih daripada 50 kes berprofil tinggi termasuk membabitkan bekas perdana menteri dan pegawai tinggi yang sedang berkhidmat, tanpa campur tangan Perdana Menteri.

“Insya-Allah..dalam beberapa tahun.. Allah izinkan saya tentukan supaya dasar negara kita ini menghentikan orang politik atau pegawai ataupun orang-orang besar yang asal dengan kuasa dia boleh bina kekayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024) di sini hari ini.

Reruai usahanita Pulau Pinang antara momen terindah buat petugas ketika mengabadikan kenangan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024) di Tapak Gravitas, Perai pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Menegaskan hal berkenaan, Anwar menjelaskan, individu yang menguruskan negara perlu bersih dan telus serta menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mempertahankan prinsip membela rakyat berbanding mempertahankan golongan maha kaya.

“Maka sebab itu, bila ada sesuatu kes itu kita kena siasat, berani tegur, bukannya mempertahankan orang yang mengambil rasuah,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024) di Tapak Gravitas, Perai pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

PIHEX 2024 merupakan ekspo anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang bermula dari 5 hingga 8 Disember bagi mempromosi produk dan perkhidmatan halal yang boleh dimanfaatkan pengguna termasuk bukan Islam.