Sejak dua hari lalu tular satu lagi video mendakwa barang bantuan banjir yang sepatutnya diagih kepada mangsa banjir, disorok di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Mas, Kelantan.
Video itu tular selepas beberapa kes barang bantuan banjir diagih secara tidak adil, termasuklah ada antara bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibungkus semula menggunakan plastik berlogo Pas.
Seorang mangsa banjir memuat naik klip video berdurasi 24 saat memaparkan sebuah bilik di sebuah sekolah yang dijadikan PPS, digenangi air banjir.
Dalam bilik itu terdapat banyak barang yang didakwa tidak diedarkan kepada mangsa memerlukan termasuk toto dan selimut sehingga akhirnya rosak kerana banjir.
“Ini bantuan yang dihantar di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas tak bagi.
“Tikar ada, kain selimut, toto… ya Allah ya Tuhanku. Bakpo lah khianat gini,” kata wanita menggunakan nama Nad di TikTok.
Tidak dapat dipastikan cerita sebenar. Facebook Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari tiada kemaskini mengenai dakwaan tersebut.
Ada antara pengguna mendakwa ruangan itu sebenarnya stor yang menempatkan barang milik sekolah terbabit tetapi ia menimbulkan keraguan bagaimana tilam dan selimut di PPS terbabit tidak digunakan segera untuk mangsa banjir.