Harga Beras Import Turun Hingga RM2

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian beras 10 kilogram bagi 200 pengunjung terawal pada Program Jualan Termurah MADANI di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, pada Sabtu. Foto Facebook Malinda Abdul Malik

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Para peniaga mula menurunkan harga beras putih import (BPI) antara RM1.50 hingga RM2 bagi 10 kilogram (kg).

Tinjauan mendapati, bagi BPI kuantiti lima kg, ia mengalami penurunan kira-kira 70 sen hingga RM1.

Perkara ini diakui oleh peniaga, Srinu, 24, yang menyatakan dia menurunkan BPI pada harga RM1.50 bagi 10 kg.

“Contoh dulu saya jual RM38, sekarang saya jual RM36.50 untuk 10 kg. Kalau beras lima kg pula, sebelum ini saya jual RM18.90, sekarang RM18.20.

“Kita juga mengharapkan apabila adanya penurunan BPI ini, akan senang untuk memperoleh stok bagi beras putih tempatan (BPT) yang sehingga kini masih sukar,” katanya ketika ditemui di Chow Kit di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian beras 10 kilogram bagi 200 pengunjung terawal pada Program Jualan Termurah MADANI di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, pada Sabtu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sebelum ini dilaporkan, Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bersetuju menurunkan harga jualan BPI di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan kepada RM2,800 per tan berkuat kuasa 1 Disember.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berjaya mengurangkan harga beras putih import di pasaran melalui hasil rundingan dengan kerajaan India dalam sesi lawatan diadakan ke negara itu, baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga, Gaffar Mohamed Hanifa, 38, menyatakan dia menurunkan harga BPI antara RM1.50 ke RM2 dan ia adalah mengikut jenama.

“Jenama beras seperti cap masjid dan cap bawang turun RM1.50 manakala untuk RM2 itu jenama Jati, Hayati dan Aura.

“Sebagai contoh mana-mana beras yang sebelum ini kita jual pada harga RM38 bagi 10 kg, kini kita jual RM36.

“Kalau BPI lima kg pula, akan turun sebanyak 70 sen hingga RM1. Contohnya sebelum ini cap bawang atau masjid ini kita jual RM18, tetapi kini dijual RM18.30,” katanya.

Dia juga mengharapkan dengan penurunan BPI ini akan membolehkan pihaknya memperoleh BPT untuk dijual kepada pelanggannya.

“Kalau dapat BPT itu, senang untuk pelanggan kami. Ia lagi murah dan pilihan beras yang ada akan lebih banyak,” katanya.

Peniaga nasi lemak, Azhar Ibrahim, 65, menyatakan dia menyambut baik penurunan harga BPI itu dan sekiranya harga itu naik, ia akan menyukarkan pihaknya.

“Saya pun terpaksa beli BPI yang mahal ini kerana BPT tak ada. Harap dengan penurunan ini juga, BPT akan kembali ada di pasaran.

“Kita pun kalau boleh nak beli beras yang murah,” katanya yang tinggal di Kampung Baru.