Batu Puteh: Perlanggaran Tatakelola Serius, Tun M Wajar Dibicara – Faizul Abd Ghani

 

Aktivis KEADILAN Johor, Faizul Abd Ghani mahu mereka yang mengkhianati amanah rakyat dalam kehilangan Batu Puteh kepada Singapura membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diheret ke muka pengadilan selepas siasatan jenayah dilengkapkan.

KLUANG, 7 Dis – Biar sehingga tujuh tahun sekalipun, namun perbicaraan tetap perbicaraan sehingga mereka yang mengkhianati rakyat dan negara dibuktikan di mahkamah.

Itu ketegasan aktivis KEADILAN Johor, Faizul Abd Ghani yang mahu mereka yang mengkhianati amanah rakyat dalam kehilangan Batu Puteh kepada Singapura membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diheret ke muka pengadilan selepas siasatan jenayah dilengkapkan.

“Tidak ada jalan lain, sebagai anak jati Johor, saya mewakili sentimen majoriti rakyat negeri ini amat bersetuju syor RCI berkenaan dilaksanakan setelah dibahaskan di Dewan Rakyat minggu depan.

“Inilah masanya untuk Tun membuktikan beliau tidak bersalah dan sekiranya didapati wujud perlanggaran tatakelola termasuk tidak membincangkan perkara itu bersama Jemaah Menteri, itu sudah cukup membuktikan beliau mempunyai agenda tersenditi ketika itu,” tegasnya.

Difahamkan bekas perdana menteri itu berisiko tinggi berdepan dengan hukuman penjara sekiranya siasatan jenayah terhadapnya berhubung kes terbabit membawa kepada pendakwaan ke mahkamah.

Menurut laporan setebal 238 muka surat itu, siasatan jenayah bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali kepada pelaku yang didapati bersalah.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerima laporan rasmi Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) tentang kehilangan Pulau Batu Puteh daripada Tan Sri Md Raus Sheriff di Istana Negara pada 12 Ogos lalu. Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Hukuman digariskan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan ialah penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya didapati bersalah,” kata laporan itu.

RCI berpendapat siasatan ke atas Dr Mahathir boleh dimulakan dengan Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan kerana Dr Mahathir dikatakan telah menipu Jemaah Menteri ketika itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pengamal media usai menunaikan solat Jumaat di surau Al-Manar, Putrajaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Katanya, Dr Mahathir juga dikatakan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan dengan permohonan berkaitan isu Batu Puteh selain keputusan pada waktu tersebut hanya dibuat oleh sepihak sahaja iaitu oleh Dr Mahathir tanpa kelulusan dan perakuan Jemaah Menteri.

Ketika itu pun, tiada Jurucakap Kerajaan yang menjelaskan perkara itu seperti yang kini dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika dilihat pandangan pengabaian tugas Tun Mahathir pula, Faizul berpandangan ia tidak wajar memandangkan perkara itu dilakukan hanya dua minggu selepas menjadi Perdana Menteri ketujuh kerana beliau berpeluang mengutarakan isu itu di hadapan Jemaah Menteri sekiranya berlaku jujur tentang soal kedaulatan negara.

“Saya fikir janganlah dilindungi kesalahan berkenaan yang menyebabkan Sultan Ibrahim selaku pemerintah jajahan takluk Johor turut murka mengapa dengan mudah membatalkan bantahan itu dan Batu Puteh menjadi milik Singapura,” tegasnya lagi.