Kehilangan minyak masak paket di pasaran terus terbongkar selepas pihak berkuasa menemui 870 kilogram minyak masak bersubsidi itu disimpan dan disorok dalam sebuah rumah kedai dua tingkat di Setiawan, Perak.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bertindak pantas dengan merampas kesemua minyak masak paket tersebut.
Tidak hanya itu, KPDN Perak turut menemui 87kg minyak masak botol pelbagai jenama yang disimpan melebihi had ditetapkan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 petang semalam setelah menerima aduan awam yang mendakwa terdapat aktiviti penjualan minyak masak peket 1kg secara borong.
“Jumlah minyak masak yang ditemukan itu melebihi had yang dibenarkan dalam lesen.
“Seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun mengaku sebagai pemilik premis itu, dan akur serta faham tindakan yang dilaksanakan oleh KPDN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan mendapati kedai runcit itu mempunyai Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) bagi gula, minyak masak dan tepung gandum yang masih sah, dengan had kuantiti simpanan 500kg bagi setiap jenis barang kawalan itu.
Sehubungan itu Kamalludin berkata satu tindakan kes telah diambil kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu peruncit memiliki barang kawalan melebihi had yang dibenarkan Pengawal di dalam lesen.
“Semua minyak masak itu disita, dengan nilai sitaan dianggarkan RM4,567.50,” katanya.