Skuad Prihatin Pekasih Malaysia Ganding Bahu Bersihkan Rumah, Surau Di Tumpat

 

Pengerusi Skuad Prihatin Pekasih Malaysia, Faizul Abd Ghani meneliti kemusnahan peralatan rumah ketika melakukan proses pembersihan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

TUMPAT, 8 Dis – Simpati dengan musibah yang melanda pantai timur, skuad Prihatin Pekasih Malaysia berada di sebuah kawasan di utara Kelantan bagi meninjau dan membantu mangsa banjir di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat, antara kawasan yang teruk dilanda gelombang pertama di negeri ini.

Berganding bahu dengan para mahasiswa dari MSU Kelantan, anggota skuad tiba sekitar jam 9.30 pagi bagi memulakan proses pembersihan sisa banjir termasuk meneliti jenis kerosakan yang dialami penduduk.

Anggota skuad Prihatin Pekasih Malaysia membantu mengalihkan sisa banjir yang menghalang laluan keluar masuk penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

Menurut pengerusinya Faizul Abd Ghani, skuadnya menyasarkan kawasan tumpuan umum antaranya surau Taman Sri Dalam Rhu atau lebih dikenali penduduk tempatan dengan nama Masjid Taman Sri Dalam Rhu dan beberapa rumah sekitarnya.

Ia bagi membolehkan penduduk taman dan para jemaah dapat meneruskan kembali rutin solat berjemaah termasuk solat Jumaat yang tidak dapat dilakukan sejak dua minggu lepas.

Anggota skuad Prihatin Pekasih Malaysia bergambar kenangan bersama mahasiswa MSU dari Kelantan sebelum membantu memulakan proses pembersihan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

Selain bantuan pembersihan, skuad juga menyalurkan barangan makanan kepada penduduk terjejas termasuk buah-buahan seperti nanas segar yang dibawa dari Johor untuk dinikmati bersama.

Menurut Faizul lagi, beliau tidak menyangka betapa dahsyatnya kemusnahan yang dialami penduduk dalam masa singkat hingga anggaran kerosakan yang dialami setiap penduduk mencecah puluhan ribu ringgit.

“Kerosakan yang dialami difahamkan lebih teruk berbanding bak kuning pada 2014 kerana kami dimaklumkan air naik terlalu cepat hingga barangan rumah tidak semuanya dapat diselamatkan.

Faizul (kiri) bersama skuad Prihatin Pekasih Malaysia bersama penduduk taman membantu melaksanakan proses pembersihan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

“Ketika saya bertanya penduduk sekitar, paras air lebih tinggi pada 29 November iaitu ketika mereka mula dipindahkan oleh agensi kerajaan sebaik arahan dikeluarkan,” katanya.

Beberapa penduduk yang ditemui turut memaklumkan, air naik terlalu cepat sehingga tidak dapat menyelamatkan harta benda, hanya sempat menyelamatkan diri dan keluarga.

Faizul (kiri) mewakili skuad Prihatin Pekasih Malaysia menyerahkan nanas segar dari Johor ketika membantu proses pembersihan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

Air naik hingga separas leher orang dewasa. Malah kawasan perumahan ini pertama kali ditimpa musibah banjir setelah 10 tahun dihuni dan sudah pastinya ia pengalaman pertama penduduk menempuh situasi kelam-kabut ketika itu.

Penduduk turut memberitahu kawasan tapak perumahan ini asalnya adalah kawasan penanaman padi dan tiada sebarang pembangunan dilaksanakan kerana ia sepatutnya merupakan tanah rizab pertanian orang Melayu.

Faizul (kiri) membantu anggota skuad Prihatin Pekasih Malaysia ketika membersihkan kesan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

“Kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan pemaju untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai taman perumahan kerana berada di kawasan rendah serta sistem saliran tidak memuaskan menyebabkan banjir agak lambat untuk surut,” tambahnya.

Beliau berharap usaha sekecil ini dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang ditimpa bencana kerana peralatan elektrik ditelenggelami banjir dan agak sukar untuk dipulihkan untuk digunakan semula.

Faizul (dua dari kiri, bertopi) bersama skuad Prihatin Pekasih Malaysia meninjau salah sebuah rumah semasa proses pembersihan banjir yang melanda kawasan penduduk di Taman Sri Dalam Rhu, Tumpat pada Sabtu. Foto Skuad Pekasih Malaysia

Dalam gelombang pertama banjir musim ini, lebih 95 ribu mangsa banjir ditempatkan di lebih 300 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kesemua 10 daerah termasuk Tumpat yang bersempadan dengan negara jiran.