SEGAMAT, 10 Dis – Prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa banjir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menyerahkan sumbangan kepada 258 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan di daerah ini, di sini, hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Pegawai Tugas-Tugas Khas mewakili Anwar, M Shanmugam, di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Batu Badak di sini.
Shanmugam berkata, bantuan itu bukan setakat untuk mangsa yang berlindung di PPS itu malah turut diagih kepada mereka yang sudah meninggalkan PPS tanpa mengira sesiapa asalkan mempunyai rekod berdaftar dengan PPS selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
“Kita akan teruskan usaha sebegini di semua lokasi terkesan banjir dengan kerjasama agensi Pusat dan negeri.
“Bantuan pula membabitkan kit makanan dan selimut,” katanya ditemui.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, Yang Di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Segamat Mohd Helmi Sha’ri @ Shangari dan Timbalan Ketua Polis Segamat Deputi Superintendan Ng Swie Chait.
Terdahulu pada Isnin, Anwar yang turut diwakili Shanmugam menyerahkan sumbangan kepada 50 KIR terkesan banjir di Tangkak, Johor.
Shanmugam mewakili Perdana Menteri menyampaikan sumbangan itu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Penghulu Long, Teluk Rimba, Tangkak.
“Malaysia MADANI membantu tidak mengira tempat dimana dan tidak mengira agama bangsa. Saya bagi pihak YAB Perdana Menteri sangat bersyukur dapat bersama mangsa-mangsa banjir selain bersama agensi-agensi daripada Persekutuan dan juga negeri,” katanya.