9 DISEMBER 2024
KUASA RAKYAT: KEJATUHAN BASHAR AL-ASSAD DAN PENGAJARAN BUAT DIKTATOR ZALIM
1. Rakyat Syria hari ini menutup lembaran hitam pemerintahan Basyar al-Asad, seorang diktator kejam yang telah mencengkam negara itu selama bertahun-tahun dengan kekejaman dan penindasan. Kemenangan ini diraikan dengan penuh rasa syukur – laungan takbir bergema di jalanan, bendera kebebasan berkibar megah, dan rakyat berkumpul dengan senyuman yang tidak mampu disembunyikan. Ini adalah detik bersejarah yang membuktikan bahawa kuasa rakyat mampu menjatuhkan kekuasaan yang zalim, walau berapa lama ia bertahan.
2. Bashar al-Assad meninggalkan kesan luka yang mendalam terhadap rakyat dan tanah Syria. Di bawah pemerintahannya, ratusan ribu nyawa tidak bersalah dibunuh, jutaan lagi terpaksa meninggalkan tanah air mereka, dan bandar-bandar Syria hancur akibat serangan tidak berperikemanusiaan. Malah, kezaliman rejimnya melangkaui batas – penyeksaan dalam penjara dan pencabulan hak asasi manusia yang tiada penghujungnya. Namun, di sebalik semua itu, rakyat Syria tetap bangkit dengan semangat yang tidak pernah luntur.
3. Kejayaan ini adalah satu tamparan besar kepada mana-mana diktator zalim di dunia. Ia membuktikan bahawa kuasa rakyat adalah kekuatan sebenar, dan kezaliman tidak akan kekal selama-lamanya. Ini adalah pengajaran buat sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa untuk menindas – bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman. Dunia sedang menyaksikan, dan rakyat yang tertindas sentiasa memiliki kekuatan untuk bangkit menuntut kebebasan dan keadilan.
4. Syria, yang terletak di lokasi strategik Timur Tengah, menjadi medan proksi kuasa besar serta pertembungan. Syria terus berdepan ancaman penjajahan Zionis, termasuk pendudukan haram di Bukit Golan. Lokasinya yang bersempadan dengan Israel, Turki, Iraq, dan Lubnan menjadikannya pusat geopolitik yang mudah mencetuskan ketidakstabilan serantau. Oleh itu, masyarakat antarabangsa perlu segera membantu Syria membina semula negaranya dan memperkukuh kestabilan, agar negara ini mampu mengekang agenda Zionis Israel serta menjadi simbol kebangkitan dan kedaulatan di rantau ini.
@MUSA'B MUZAHAR
Pengerusi Biro Antarabangsa
Pemuda Amanah Nasional
#PemudaAMANAH
#PartiAmanahNegara