PUTRAJAYA, 19 Dis – Malaysia dan Turkmenistan akan mewujudkan suruhanjaya bersama bagi memperluas tahap kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri minyak dan gas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disepakati dalam pertemuannya bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow hari ini.
“Menteri Luar kedua-dua negara akan meneruskan usaha berkenaan pada awal tahun depan untuk menjayakan kerjasama bersama ini,” katanya pada sidang media bersama Berdimuhamedow, di sini.
Tambahnya, sejak lawatan terakhir pada tahun 2016 oleh bekas Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow yang kini pemimpin kebangsaan, Malaysia telah menyaksikan pengukuhan kerjasama tersebut dan sokongan serta kesediaan republik terbabit terhadap industri negara terutamanya PETRONAS Carigali.