Anwar pernah buat janji dengan penjawat awam sebelum menang PM

 


Seorang penjawat awam melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menikmati kenaikan gaji setelah sekian lama, dan mengatakan Perdana Menteri telah mengotakan janji kepadanya.

Fuad Nordin dalam satu hantaran di Facebook mengimbas kembali janji Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada waktu itu katanya dia sempat meluahkan kepada Anwar tentang dilema gaji sebagai penjawat awam dan komitmen yang besar, sebelum Anwar sendiri menyahut perkara itu dengan positif.


“Alhamdulillah. Hari ni terbukti PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janjinya pada aku. Di pagi Hari penamaan calon PRU15 tempoh hari aku dapat sarapan pagi semeja dengan DSAI sebelum ke tempat penamaan calon.

“Aku luahkan kepada beliau berkenaan gaji aku sebagai penjawat Awam. Aku cerita kepada beliau kometmen aku dengan gaji yang aku perolehi waktu itu. Potong rumah, kereta, anak sekolah dan segala bagai.

“Aku kata kepadanya jarap kalau Datuk Seri jadi PM nanti tolonglah naikkan gaji minimum penjawat awam,” kongsinya.


Fuad berkata dia masih ingat kata-kata daripada Anwar bahawa perubahan itu akan diusahakan jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri.

“Dia kata kepada aku doakan dia menang di Parlimen Tambun ini dan dapat jadi Perdana Menteri untuk mentadbir Negara, InsyaAllah dia akan usahakan.

“Syukur Alhamdulillah hari ni gaji dah naik 8 peratus tahun depan KGT naik RM100, Januari 2026 pula naik lagi 7 peratus Syukur Alhamdulillah.

“Terima kasih PMX dan terima kasih Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.


Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.

Sebelum ini Anwar berkata pelarasan gaji bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak 8 peratus pada Fasa 1 dan 7 peratus pada Fasa 2; manakala untuk KPT adalah 4 peratus bagi Fasa 1 dan 3 peratus bagi Fasa 2.

Contoh jika seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11, dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795, dia akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.