Peruntukan RM1 Juta Bina Pusat Pengajian Islam Di Chemor

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis Kenduri Rakyat dan Ziarah Mahabbah di Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin Tanah Hitam di Chemor, hari ini. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

IPOH, 20 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk pembinaan Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor dekat sini.

Beliau berkata ia adalah tambahan kepada dana yang dikumpul oleh penduduk kawasan itu bagi membangunkan pusat pengajian berkenaan.

Katanya, beliau memberi perhatian khas kepada pusat pengajian Islam itu atas usaha dan ikhtiar pengurusannya membangun dan mengimarahkan institusi pengajian agama berkenaan.

“Saya ucap penghargaan setingginya (kepada pihak pengurusan pusat pengajian itu) termasuk penduduk di sini yang telah mengambil ikhtiar sendiri, tanah wakaf, yang membangunkan adalah ikhtiar sendiri.

“Ini (ikhtiar sendiri) satu perkara yang sangat membanggakan kerana ilmu itu fadilatan (fadilat) kepada seluruh Muslim dan Muslimat dan matlamat kita itu sebenarnya nak didik masyarakat, angkat martabatnya dan beri kefahaman,” katanya ketika berucap pada majlis Lawatan Mahabbah dan Kenduri Rakyat di pusat pengajian itu dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Penaung Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu rakyat mengubah persepsi bahawa tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi kerohanian seperti masjid dan pusat pengajian agama tidak hanya tergalas di bahu kerajaan, sebaliknya menjadi tanggungjawab kepada semua rakyat.

Beliau berkata, martabat umat Islam boleh diangkat apabila tanggungjawab membangun dan mengimarahkan institusi agama sedemikian dimainkan semua pihak, termasuk menerusi sumbangan kepada tabung masjid pada setiap Jumaat sewaktu sesi solat Jumaat berlangsung.

“Seperti hari Jumaat kita ke masjid, bina masjid itu pun menjadi tanggungjawab semua. Sesetengah orang dia salah faham dengan dia ingat semua ini dari peruntukan (kerajaan).

“Namun, mesti ada paling kurang seringgit (RM1), mesti ada saham dia untuk membina masjid. Maknanya, mengimarahkan atau membangun masjid itu tanggungjawab semua.

“Jadi mesti ada saham RM1, atau RM10, atau RM100 mengikut kemampuan masing-masing. Untuk apa? Bukan untuk tempat porak-peranda, maki hamun, fitnah orang atas nama Melayu atau Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan perlu berjimat dan berhemah dalam berbelanja bagi menampung kos urus negara yang semakin meningkat termasuk menampung tambahan kos RM10 bilion sepanjang 2025 bagi kenaikan gaji penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan wang kerajaan diurus dengan cekap tanpa membabitkan perbelanjaan tidak perlu yang boleh menyumbang kepada ketirisan dan rasuah.

“Untuk tahun depan, gaji (penjawat awam) naik seluruh negara membabitkan tambahan RM10 bilion untuk 2025 sahaja. Hendak cari di mana? Maka sebab itu kita kena jaga dan cermat.

“Wang ini wang rakyat. Jangan bagi orang curi duit, jangan ada amalan ambil komisen, ambil rasuah, beli harta di London, beli harta di Vancouver, beli harta di New York. Kemudian bila balik, dia bercakap soal perjuangan.

“Dia kena belajar daripada dalam hati, betulkan. Kalau begini dibetulkan, Insya-Allah rezeki itu Tuhan akan curahkan… Yang itu saya yakin. Susah memang susah, kerja kena kuat, sungguh-sungguh,” katanya.