Pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan satu poster tular mendakwa menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta pesawah berjimat cermat menggunakan baja.
Dalam satu hantaran di Facebook, kementerian itu menegaskan bahawa menteri tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Pejabat juga mengesahkan poster tersebut adalah palsu.
“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ingin menafikan Datuk Seri Mohamad Sabu ada mengeluarkan kenyataan “pesawah diminta berjimat cermat menggunakan baja bagi membantu kerajaan” seperti yang ditularkan dalam poster ini.
“Pejabat Menteri juga ingin mengesahkan bahawa tangkap layar yang dibuat adalah palsu,” katanya.
Susulan itu satu laporan telah dibuat kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang sewajarnya dikenakan kepada pihak yang membuat hantaran palsu dan tidak benar ini.