Selepas mengeluarkan kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini, untuk dirakam percakapan.
Ketua Penerangan Bersatu berkenaan yang diiringi beberapa penyokong memasuki IPD Putrajaya secara bersendirian jam 3 petang tadi, memetik BH.
Tun Faisal sewaktu sidang media di lokasi berasingan memberitahu bahawa pihak polis memintanya hadir bagi dirakam percakapan.
Ia mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berkaitan kenyataannya yang dimuat naik di Facebook.
Untuk rekod, Tun Faisal menyertai Bersatu berkuat kuasa 9 Julai 2023.
Pada 30 Ogos lalu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan membuat laporan polis di Balai Polis Setapak terhadap Tun Faisal yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya.
Laporan itu susulan artikel berbaur fitnah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berhubung isu pelantikan Perdana Menteri oleh yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ketua Penerangannya, Nasrun Nasaruddin berkata, hantaran pada 27 Ogos lalu itu juga mencabar kredibiliti Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam urusan lantikan Perdana Menteri.