Ahli Parlimen Pas, Ahmad Fadhli Shaari membuat ‘troll’ pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Vladimir Putin.
Ia sebagai tindak balas kerana warganet menyindir pertemuan sekumpulan ahli pembangkang dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon Selasa lalu.
Warganet sebelum ini mendakwa pembangkang membuat gambaran salah apabila menyatakan mereka menerima kunjungan hormat daripada Luxon.
Kata warganet, ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang sebenarnya membuat kunjungan terhadap Luxon kerana terdapat satu video di mana Luxon berkata “terima kasih kerana datang hari ini” kepada Hamzah.
Dalam video sama, Luxon juga berkata “anda (Hamzah) bawa kawan-kawan”, dengan sejumlah pihak menafsirkan ia bermaksud dia tidak menjangka Hamzah akan membawa pemimpin lain bersama dalam pertemuan itu.
Pengguna media sosial beranggapan sebenarnya bukan Luxon yang mengunjungi pembangkang, sebaliknya pembangkang yang pergi bertemu Luxon.
Atas sebab itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas membalas kembali dengan menyindir pertemuan PMX dengan Putin.
Sebelum ini Anwar dalam ucapannya berkata, Presiden Putin memintanya hadir ke Vladivostok kerana mahu berbincang dengannya.
Ahmad Fadhli kemudian menyertakan tangkap layar berita lawatan kerja PMX ke Russia yang tertulis “Anwar berhasrat bertemu dengan Presiden Russia untuk membincangkan hal ekonomi”.
“Presiden Putin yang nak jumpa PMX, bukan PMX yang berhasrat jumpa Putin. Betulkan laporan ini! Jangan lekehkan Perdana Menteri kita.
“Saya tak boleh diam jika ada mana-mana pihak buat laporan tak tepat seperti ini, ini wajib diambil tindakan!,” sinisnya di Facebook.
Bagaimanapun sindiran berbentuk ‘troll’ itu dianggap “tidak sampai” oleh pengguna media sosial.
“Fadhli Shaari cuba nak troll, tapi tak sampai bang, tak sampai. Dia gini. Nak pi forum di Russia tu haruslah ada jemputan dari Presiden Putin.
“Betullah PMX Anwar Ibrahim sebut dalam ucapan, Putin nak jumpa dia, sebab tu la Malaysia dapat jemputan rasmi.
“Mestilah dalam surat rasmi tu tertulis, “jemputan kepada Perdana Menteri Malaysia”, bukan “jemputan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas.”
“Dan PMX pun takdak la up status kata “saya menerima kunjungan hormat Presiden Putin di Vladivostok”,” balas seorang pengguna Facebook, Najib Bakar.