RAFIZI RAMLI
Suzhou adalah hentian kedua saya dalam rangka lawatan ke China yang lepas, selepas Hangzhou.
Suzhou adalah salah satu dari lima bandaraya dengan saiz ekonomi terbesar di China. Lebih unik lagi, sebahagian besar dari ekonomi Suzhou adalah dalak bidang teknologi tinggi seperti nano teknologi, bio teknologi dan semikonduktor.
Sehingga awal 90an, Suzhou adalah kawasan pertanian. Sebahagian besar kawasannya adalah sawah padi.
Dalam tahun 1994, Pihak Berkuasa Bandar Suzhou (kalau di Malaysia, macam Majlis Perbandaran) menyambut dasar Kerajaan China ketika itu untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
Mereka memutuskan untuk membangunkan taman perindustrian berteknologi tinggi, tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran dan wang.
Akhirnya, mereka melakukan usahasama (joint venture) dengan Kerajaan Singapura melalui sebuah syarikat bernama Suzhou Industrial Park, yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan taman perindustrian itu.
Semasa permulaan operasi, Singapura memegang saham majoriti sebagai pelabur.
Setelah 30 tahun, saham Singapura telah dibeli kembali oleh Kerajaan China dan Suzhou Industrial Park diiktiraf sebagai pusat teknologi tinggi paling besar dan berjaya di China.
Saya ke Suzhou Industrial Park sebagai kerja awal untuk membina ekosistem pelaburan industri berteknologi tinggi seperti ini di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Model pembangunan industri di JS-SEZ mesti menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada keperluan bersepadu (pembiayaan, kepakaran teknologi, menarik pelabur dan lain-lain), bukannya kepada fokus hartanah semata-mata.
Rundingan untuk memuktamadkan JS-SEZ dengan Kerajaan Singapura sedang berjalan.
Kerja awal untuk menghubungkan pemain industri dan mengenal pasti pelaburan teknologi yang bersifat pemangkin (catalytic) juga sudah bermula.
Harapan saya, dengan kepakaran bersama Malaysia, Singapura dan pengalaman taman industri seperti Suzhou, 30 tahun dari sekarang kawasan di dalam JS-SEZ akan menjadi metropolis baru di selatan tanah air, seperti mana Suzhou menjadi metropolis di atas tapak sawah padi.