KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN KURSUS DAKWAH HARMONI ANJURAN GLOBAL UNITY NETWORK UNITY (UNITY)



1. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat kesal dengan tohmahan oleh seorang ahli politik yang mendakwa Kursus Dakwah Harmoni anjuran Global Unity Network Unity (UNITY) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengundang ancaman terhadap akidah anak bangsa.

 





2.​ Dakwaan tersebut adalah satu lagi bentuk tohmahan yang tidak bersandarkan fakta sebenar. Ia hanyalah bertujuan memburukkan imej dan komitmen Kerajaan dalam menjayakan agenda mengukuhkan kedudukan Islam dan pembangunan ummah di negara kita.

 




3.​ Hakikatnya, Kursus Dakwah Harmoni tersebut ialah program tertutup dan khusus untuk  guru-guru agama dakwah terpilih daripada Jabatan Agama Islam Perak. Program berkala yang dianjurkan tersebut merupakan sebahagian dari siri latihan peningkatan kefahaman dan kemahiran dakwah yang bermatlamat meningkatkan kepakaran dakwah kepada guru-guru bagi membolehkan mereka memberikan kefahaman yang sebenar tentang ilmu berkaitan agama-agama lain dan perbandingannya kepada komuniti dan generasi muda.

 

4.​ Seperti mana sedia maklum, Lawatan Harmoni Terbimbing telah dibimbing oleh Encik Shah Kirit Kakulal Govindji yang mempunyai kepakaran dalam perbandingan agama. Lawatan Harmoni Terbimbing ini dijalankan di pusat ibadah bukan Islam adalah salah satu dari aktiviti pendidikan terkawal bagi mencapai objektif kursus yang dilaksanakan.

 

5.​ Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sepanjang Lawatan Harmoni Terbimbing tersebut, tiada penglibatan dalam amalan upacara keagamaan. Ia bukan program terbuka kepada umum kecuali untuk para peserta yang telah terlatih dalam bidang dakwah dan perbandingan agama.

 

6.​ Lawatan itu juga telah memberi ruang dan peluang kepada guru agama dakwah berdialog dan menyampaikan mesej agama Islam yang sebenar serta sejagat demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian tamadun insan. Malah, penganjuran kursus tersebut menerusi pendekatan dialog antara tamadun bukan inisiatif baru, tetapi telah dilaksanakan dengan jayanya sejak 5 tahun yang lalu.


7.​ Justeru, saya ingin menyeru umat Islam agar tidak terpengaruh dan menolak tohmahan yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang berniat jahat bertujuan memecah belahkan keharmonian dan usaha perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.


8.​ Sesungguhnya negara kita memerlukan lebih ramai guru agama dakwah yang berilmu dan berkepakaran tinggi dalam bidang ilmu agama dan perbandingannya demi memelihara jati diri aqidah dan sahsiah terutama di kalangan generasi muda dan masyarakat Islam.

 

Sekian, terima kasih.

 

SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

 

2 Ogos 2024


https://www.facebook.com/100088104087618/posts/461905086756290/


https://www.instagram.com/p/3425473290968824636


https://x.com/dsdrnaim/status/1819209528401076247?s=46



No comments: