YBM BERSIARAN KEMBALI MAC: ISHAM JALIL, LIM SIAN SEE, PUAD ZAKARSHI DLL




Malam ini, sepatutnya podcast Yang Bakar Menteri (YBM) ke udara (seperti siaran biasa malam Isnin setiap dua minggu). Tetapi saya di hospital untuk tempoh dua minggu lagi selepas menjalani pembedahan tulang belakang.


Oleh itu, Insya Allah YBM akan kembali bersiaran dalam bulan Mac 2024.


Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan. Tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu.


Saya kena serangan jantung dalam bulan Oktober 2023. Saya tidak fikir ia disebabkan tekanan kerja dan seumpamanya, lebih kepada keadaan kolesterol saya yang memang tinggi sejak saya muda. Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolesterol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat.


Alhamdulillah, prosedur untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat berjalan dengan baik. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang menjaga saya dengan baik.


Di minggu ketiga Januari 2024 pula, saya kena COVID (buat kali pertama). Saya tidak pernah kena COVID sebelum itu. Akibat terlantar beberapa hari, tekanan ke atas tulang belakang menyebabkan berlaku slipped disc. 


Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit. 


Diagnosis dari MRI menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan (compression) dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang (yang menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.


Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan UPM yang merawat saya.


Insya Allah saya akan kembali semula ke pejabat dalam bulan Mac 2024 dan YBM akan ke udara semula.


Sebelum ini, ada watak-watak seperti Isham Jalil dan Lim Sian See yang menawarkan diri untuk bersemuka dengan saya dalam YBM. 


Saya tidak ada masalah sebenarnya. Dalam kerjaya saya, saya telah hadir dan bersemuka dalam pelbagai perdebatan, forum dan lain-lain. Malah saya pernah mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak berdebat pun sebelum PRU15 yang lepas.


Kini, watak-watak seperti Isham Jalil, Lim Sian See dan Puad Zakarshi menjadi ayam tambatan kepada pembangkang Perikatan Nasional (PN) kerana mereka sering menyerang saya (dan kerajaan), sedangkan mereka ini adalah penyokong kuat Dato’ Seri Najib Tun Razak (yang partinya adalah sebahagian dari Kerajaan Madani).


Watak-watak seperti inilah yang dilambung oleh aktivis maya PN, sedangkan tidak ada seorang pun pemimpin atau aktivis maya PN yang berani hadir bersemuka dengan saya dalam YBM.


Saya tahu watak-watak seperti ini mahu hadir kerana mereka membawa agenda tertentu. Mereka juga tahu saya terikat dengan tertib bersama dalam kerajaan, yang bermakna saya tidak bebas menyatakan sesuatu yang boleh menimbulkan kekeruhan dengan UMNO, iaitu salah satu parti yang menganggotai Kerajaan Madani.


Tetapi jika saya tidak bersuara mengenainya, yang lebih galak ialah pimpinan dan aktivis maya PN.


Oleh itu, saya terbuka untuk mereka hadir bersemuka di YBM selepas saya mendapat maklum balas dari YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi (Presiden Umno). Saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan Madani.


Jika mereka tiada halangan, saya berbesar hati untuk mendedahkan wajah sebenar watak yang mengendalikan kempen propaganda yang mempertahankan 1MDB selama ini, yang berselindung di sebalik nama Lim Sian See. 


Begitu juga dengan Isham Jalil, hatta Puad Zakarshi pun. Saya pun berminat untuk mendengar idea-idea mereka untuk membantu negara mengemudi suasana ekonomi dunia yang mencabar sekarang ini.


Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu. Insya Allah kita akan tahu menjelang Mac nanti.



No comments: