Pagi tadi saya meluncurkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai pusat kewangan antarabangsa. Usai menyempurnakan majlis, saya diajukan soalan perihal nilai dan prestasi ringgit saat ini.
Saya sedar akan kebimbangan rakyat berkaitan nilai pertukaran mata wang ringgit sekarang. Namun, jika dirujuk kepada angka dan asas ekonomi serta instrumen pelaburan, ia ternyata memberi gambaran yang berbeda.
Kerajaan MADANI telah berjaya menurunkan kadar pengangguran ke paras terendah pasca-pandemik. Kendatipun, Malaysia masih menghadapi kenaikan kos barang, inflasi negara tidak sampai 2% pun pada suku keempat 2023 — sedangkan seluruh dunia masih dihimpit inflasi tinggi sejak pandemik.
Seperti yang saya kongsikan semalam, Kerajaan MADANI telah meluluskan jumlah pelaburan langsung tertinggi di Malaysia dalam satu tahun kalendar pada tahun lepas, yakni RM329.5 bilion.
Angka ini ternyata memberi gambaran yang kukuh kepada pelabur asing bahawa prestasi dan perencanaan kewangan negara setakat ini berhasil menarik minat pelaburan syarikat-syarikat gergasi dan institusi-institusi kewangan dari seantero dunia untuk bertapak di sini.
Dengan terluncurnya TRX, ia pasti akan menambahbaik prospek masa hadapan negara.
Saya beriltizam untuk memastikan Kerajaan MADANI akan membawa asas ekonomi kita dan kesejahteraan rakyat ke paras yang lebih tinggi.
Saya amat berharap agar rakyat umumnya dapat mengikuti perjalanan ini dengan rapat dan menggarap keseimbangan yang cuba diwujudkan Kerajaan dalam menongkah arus cabaran geopolitik dan masalah rantaian bekalan makanan dunia sambil memastikan ekonomi kita kekal mampan dan terarah.
#MalaysiaMADANI