Persepsi tumbang kerajaan: PN hentikan mimpi, rakyat sudah muak


Oleh: Abdullah Zaid


Menjengah setahun pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kerajaan, ura-ura Perdana Menteri baharu akan mengambil alih kuasa masih dimainkan pembangkang biarpun penuh kekaburan.


Malah, apa yang lebih parah lagi tarikh dakwaan Kerajaan Pusat akan bertukar tangan silih berganti meskipun beberapa kali tarikh yang digembar-gembur itu meleset.


Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Terengganu (AMK) Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin menyarankan agar mainan persepsi yang diapi apikan oleh laskar siber PN segera dihentikan.

Md Asyraf Zulfadhly Md Zainudin

Katanya, sekiranya blok pembangkang masih lagi bermain dengan naratif menumbangkan kerajaan, dibimbangi mereka pula yang akan ditolak rakyat yang telah muak dengan propaganda tidak menjadi kenyataan.


"Saya lihat soal hendak menumbangkan kerajaan ini, pembangkang sepatutnya perlu berasa lebih bimbang dengan permainan itu (berulang ulang).


"Kerana mereka (kelak) bukan sahaja hilang sokongan rakyat tetapi pimpinan (Ahli Parlimen) mereka sendiri juga mula tidak percaya kepada parti sendiri dan mula menyokong kerajaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Jelasnya, dengan sokongan kukuh daripada 19 gabungan parti, usaha menumbangkang Kerajaan Perpaduan memiliki peluang amat tipis sekali.


"Hal ini sesuai dengan kenyataan Premier Sarawak, Abang Johari sendiri memberi jaminan untuk teguh di belakang Kerajaan Perpaduan, jadi mana mungkin usaha peralihan boleh berlaku," ujarnya.


Justeru, sayap pemuda KEADILAN Terengganu itu menyarankan rakyat tidak lagi terlena dengan dakyah pembangkang yang cuba mempengaruhi mereka berkenaan isu Perdana Menteri baharu.


"Masyarakat mahupun pengguna media sosial perlu pastikan maklumat yang disampaikan kepada mereka benar-benar sahih


"Tugas kita (Kerajaan Perpaduan) juga mestilah menangkis segala dakwaan tersebut agar rakyat tidak terkesan dan percaya secara bulat-bulat," katanya lagi.


Minggu lalu, laskar siber PN mendakwa kerajaan akan bertukar tangan pada hujung tahun ini.


Tarikh terbaharu itu diramal selepas tarikh Pilihan Raya Negeri berlalu dan ramalan pertukaran kerajaan pada bulan Oktober 2023 tidak menjadi kenyataan.


Namun tarikh baharu ini juga mengarut kerana tahun 2023 hanya berbaki 3 hari dan tiada apa yang terjadi.

No comments: